Sultan Selangor titah polis buru dalang insiden bakar suar babitkan penyokong Selangor FC
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar pihak polis mencari dalang di sebalik insiden membakar suar yang didakwa membabitkan penyokong Selangor FC di Jambatan Angkat Kuala Terengganu, kelmarin.
Dalam satu kenyataan, Istana Alam Shah memaklumkan, Sultan Selangor sebagai Penaung Selangor FC tidak berkenan dan menzahirkan rasa amat dukacita dan kecewa terhadap kegiatan tidak bermoral itu.
Baginda bertitah, tindakan seperti budaya samseng dan gengsterisme itu kian menular dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan, khususnya yang memakai jersi pasukan Selangor FC.
“Baginda mahu pihak polis mencari dalang di sebalik insiden itu dan sekıranya didapati bersalah, mereka yang terbabit haruslah dihukum dengan hukuman yang maksimum dan setimpal mengikut undang-undang.
“la sebagai pengajaran kepada penyokong Selangor FC yang lain supaya insiden seumpamanya tidak berulang,” titah baginda melalui kenyataan di laman sosial Selangor Royal Office, hari ini.
Dalam kenyataan sama, baginda turut menyeru semua penyokong pasukan Selangor FC sentiasa mengawal tingkah laku masing-masing serta menjaga nama baik pasukan dan negeri.
“Baginda turut mencadangkan penyokong Selangor FC yang disabitkan kesalahan menimbulkan kekacauan, diharamkan daripada masuk ke stadium untuk menghadiri mana-mana perlawanan membabitkan pasukan itu,” jelas kenyataan itu lagi.
Terdahulu, penyokong Selangor FC ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat apabila membakar suar, kelmarin disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Tindakan diambil selepas mereka mengeluarkan kata-kata “tak kan nak bakar suar dalam hutan, nak bagi beruk tengok ke” selepas ditanya polis kenapa melakukan tindakan itu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut kesalahan berkaitan penyalahgunaan dan memiliki dadah.
Seramai 24 daripada 33 penyokong Selangor FC yang ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam di Jambatan Angkat Kuala Terengganu petang semalam itu turut didapati positif dadah, termasuk tiga individu memiliki ganja dan erimin 5.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







