JENAYAH & MAHKAMAH

Polis buru lelaki disyaki tikam ibu sendiri

ALOR SETAR – Polis sedang memburu seorang lelaki kerana disyaki menikam ibunya sendiri hingga mati dalam kejadian di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Zaharullail Basir, 52, bekerja sebagai eksekutif operasi di sebuah bank, di sini.

Beliau menambah, mangsa ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman pada badan di rumahnya.

“Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan pada pukul 8.45 pagi tadi daripada anak lelaki mangsa memaklumkan kejadian pembunuhan membabitkan ibunya di lokasi kejadian,” katanya hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku sekitar awal pagi tadi sebelum salah seorang anak mangsa menemukan ibunya tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah.

“Pemeriksaan menemukan tiga kesan tikaman termasuk pada bahagian atas dada kiri, selain kecederaan di pergelangan tangan serta kesan luka di bahagian kepala dan muka, serta luka kecil dan luka tikaman di tapak tangan kiri.

“Pemeriksaan juga mendapati sebuah beg tangan mengandungi barang kemas, sejumlah wang tunai dan telefon bimbit didapati hilang.

“Setakat ini motif pembunuhan masih disiasat dan polis percaya kejadian ini kemungkinan membabitkan anak mangsa,” katanya lagi.

Syed Basri menambah, mangsa dipercayai tinggal di rumah itu bersama tiga anaknya dan usaha memburu suspek sedang dilakukan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Polis turut meminta penama Amirul Shafiq Shamsul Zahari, 28, untuk tampil membantu siasatan di mana-mana balai polis berhampiran.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button