JENAYAH & MAHKAMAH

Penjenayah buruan Jepun cuba menyamar masuk Malaysia

KUALA LUMPUR – Taktik seorang lelaki warga Jepun yang dikehendaki pihak berkuasa negaranya sejak 2018 untuk menyamar sebagai warga Myanmar bagi memasuki Malaysia akhirnya terbongkar apabila dia berjaya dikesan dan ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata, suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan di Jepun itu telah diusir keluar dari negara ini pada 24 April lalu oleh Bahagian NCB/Interpol (D12) Bukit Aman.

Menurutnya, tindakan tersebut dibuat susulan permohonan bantuan daripada pihak berkuasa Jepun bagi mengesan individu yang tersenarai dalam Notis Merah Interpol.

“Pada awalnya, lelaki berkenaan ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Hasil siasatan mendapati suspek telah mengubah identiti dan kewarganegaraannya kepada warga Myanmar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut menggunakan kaedah saintifik dan forensik berjaya mengesahkan identiti sebenar suspek melalui padanan cap jari serta teknologi pengecaman wajah.

“Pemprofilan DNA yang dihantar ke Bahagian Forensik DNA Databank Malaysia (D13) turut menunjukkan padanan positif dengan profil DNA yang diperoleh dari Jepun,” katanya lagi.

Tambah beliau, suspek sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Alor Setar pada 27 Ogos tahun lalu atas kesalahan dadah dan dijatuhi hukuman penjara.

Katanya, bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, lelaki itu dijatuhi hukuman penjara 12 bulan, manakala bagi Seksyen 12(2) akta sama, dia dipenjara 10 bulan dari tarikh tangkap.

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 pula, suspek dijatuhi hukuman penjara lapan bulan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Kumar berkata, kejayaan itu mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras jenayah rentas sempadan serta memperkukuh kerjasama keselamatan di peringkat antarabangsa.

“Tindakan ini membuktikan Malaysia tidak akan menjadi tempat perlindungan kepada mana-mana individu yang cuba melarikan diri daripada proses keadilan jenayah,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button