DAP tidak perlu ‘import’ ahli parti lain – Syahredzan
KAJANG – Parti Tindakan Demokratik (DAP) menegaskan parti itu tidak perlu ‘mengimport’ ahli daripada parti lain, sebaliknya kemasukan ahli pelbagai kaum termasuk Melayu berlaku secara organik dan berperingkat tanpa menggadaikan prinsip perjuangan parti.

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, dakwaan kononnya terdapat usaha membawa masuk ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) secara besar-besaran ke dalam DAP adalah tidak berasas.
Menurutnya, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong juga telah berkata, parti tidak pernah memberi sebarang mandat kepada mana-mana individu untuk mengadakan perbincangan atau rundingan dengan ahli parti lain bagi tujuan tersebut.
“Walaupun secara prinsipnya penyertaan mana-mana rakyat Malaysia ke dalam DAP adalah dialu-alukan, namun parti ini tidak pernah ghairah mencari ahli semata-mata untuk menambah angka keahlian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Syahredzan berkata, usaha menarik lebih ramai ahli pelbagai kaum termasuk daripada masyarakat Melayu tidak akan dilakukan secara tergesa-gesa atau dengan mengorbankan prinsip parti.
“DAP juga tidak akan membuka pintu kepada ahli parti lain yang kecewa akibat pergolakan dalaman parti masing-masing semata-mata untuk menambah bilangan ahli.
“Kemasukan ahli Melayu, seperti kaum lain, berlaku secara organik dan cermat. DAP tidak perlu ‘mengimport’ individu daripada parti lain hanya untuk menambah bilangan keahlian,” katanya lagi.
Beliau berkata, proses berterusan yang telah berjalan selama bertahun-tahun itu kini membuahkan hasil apabila DAP mempunyai pemimpin Melayu di semua peringkat, termasuk sebagai wakil rakyat, ahli majlis, ketua kampung serta pemimpin akar umbi.
Menurut Syahredzan, perkara paling penting ialah setiap ahli DAP tanpa mengira bangsa dan agama perlu menghayati perjuangan parti serta berjuang demi kepentingan negara dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








