JENAYAH & MAHKAMAH

Suami pengasas Dnars menang saman fitnah, anak tiri dan adik ipar diperintah bayar ganti rugi RM100,000

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan anak dan adik kepada pengasas produk kecantikan Dnars membayar ganti rugi berjumlah RM100,000 kepada suami Allahyarhamah Faziani Rohban, Ahmad Shah Rizal Ibrahim selepas mendapati beliau telah difitnah melalui pelbagai tuduhan tidak berasas dan bersifat serius.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Khadijah Idris selepas membenarkan saman yang difailkan Ahmad Shah Rizal, 48, selaku plaintif terhadap Mohd Faizul Rohban dan Irdiena Hakim Jasman, masing-masing adik dan anak kepada Allahyarham Faziani selaku defendan pertama dan kedua.

Dalam kenyataan medianya, Ahmad Shah Rizal memaklumkan bahawa fokus utama saman tersebut adalah terhadap penerbitan kenyataan oleh kedua-dua defendan yang menuduh beliau berlaku curang terhadap isterinya dengan menjalin hubungan sulit bersama wanita lain ketika Allahyarhamah masih hidup.

Beliau turut difitnah sebagai bersikap kejam terhadap anak tiri termasuk dakwaan cuba memerangkap anak tiri melalui laporan palsu, bersikap tamak, menyeleweng harta peninggalan Allahyarhamah, tidak bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan dan penjagaan anak tiri, selain tuduhan serius kononnya beliau terlibat merancang pembunuhan Allahyarhamah Faziani.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati semua dakwaan tersebut adalah tidak benar, tidak berasas dan bersifat fitnah.

Mahkamah turut merekodkan bahawa isu kematian Allahyarham Faziani tidak pernah dibangkitkan oleh Ahmad Shah Rizal dalam saman fitnah itu, sebaliknya dikemukakan oleh pihak defendan dalam pembelaan mereka.

Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan Mohd Faizul dan Irdiena membayar ganti rugi RM100,000 kepada plaintif, selain mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka melalui media arus perdana iaitu Harian Metro, Sinar Harian, Kosmo! dan Berita Harian serta di portal Ohmymedia dan akaun Facebook peribadi kedua-dua defendan.

Mahkamah juga mengeluarkan perintah injunksi kekal yang melarang kedua-dua defendan termasuk ejen atau pekerja mereka daripada mengeluarkan sebarang penerbitan, penulisan atau kenyataan lanjut yang mengandungi tuduhan sama atau apa-apa kenyataan bersifat fitnah terhadap plaintif pada masa akan datang.

Menurut Ahmad Shah Rizal, tindakan undang-undang tersebut bukan didorong kepentingan kewangan, sebaliknya bertujuan membersihkan nama, mempertahankan maruah dan integriti peribadi serta memelihara nama baik keluarga.

“Saya menghormati keputusan mahkamah dan bersyukur kerana kebenaran telah ditegakkan.

“Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja menyentuh diri saya dan keluarga tetapi juga menjejaskan maruah dan legasi Allahyarhamah.

“Saya berharap keputusan ini menjadi pengajaran kepada semua bahawa fitnah dan tuduhan jahat tanpa asas yang dibina mengikut hawa nafsu adalah sangat kejam,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar lebih bertanggungjawab dan sedar akan kesan buruk menyebarkan fitnah serta membuat tuduhan palsu terhadap orang lain kerana ia bukan jalan penyelesaian yang bijak.

Sementara itu, peguam Nik Zarith Nik Moustapha yang mewakili plaintif mengesahkan keputusan tersebut ketika dihubungi hari ini.

Turut mewakili plaintif ialah Azhar Arman Ali dan Aina Syazwani Mansor manakala defendan diwakili peguam Shaharuddin Mohamed.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button