BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Suami pengasas Dnars ambil tindakan undang-undang susulan isu fitnah RM1.3 juta

KUALA LUMPUR – Suami kepada pengasas produk kecantikan Dnars, Ahmad Shah Rizal Ibrahim menegaskan beliau akan mengambil tindakan undang-undang susulan fitnah berhubung isu wang RM1.3 juta bagi mempertahankan reputasinya.

Menurut beliau, tindakan itu adalah kesinambungan kepada saman fitnah yang beliau ambil pada tahun 2022 yang kini menunggu keputusan mahkamah dijangka pada Januari tahun depan.

“Saya telah mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang kali kedua ke atas fitnah dan tuduhan tidak berasas ini bagi mempertahankan nama baik dan reputasi saya.

“Langkah undang-undang ini juga bertujuan menghentikan pihak tertentu daripada memanipulasi isu ini untuk kepentingan peribadi atau promosi perniagaan yang tidak beretika, mengelirukan masyarakat dan menjejaskan proses keadilan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Ahmad Shah Rizal menafikan dakwaan bahawa beliau mengambil atau menyembunyikan wang tunai RM1.3 juta yang ditinggalkan isterinya, Allahyarhamah Faziani Rohban Ahmad.

Menurut beliau, wang tersebut adalah hasil usaha bersama arwah isteri semasa hayatnya dan telah diisytiharkan secara sukarela dalam mesyuarat keluarga selepas pemergian Allahyarhamah.

Katanya, wang itu disimpan sementara dalam akaun beliau bagi tujuan keselamatan dengan persetujuan semua ahli keluarga.

Ahmad Shah Rizal bersama peguamnya pada sidang media tersebut. 

“Tiada bantahan atau pertikaian dibuat oleh ahli keluarga pada ketika itu. Semua bersetuju wang tersebut berada dalam pegangan saya sehingga selesai proses pembahagian pusaka kelak,” jelas beliau.

Ahmad Shah Rizal juga menegaskan bahawa beliau telah dilantik sebagai pentadbir pusaka Allahyarhamah bersama seorang lagi anak arwah, Mohamed Aqbar Hakim Jasman melalui perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu.

Tambahnya, sehingga prosiding mahkamah pada 13 Ogos 2025, beliau belum menerima perintah rasmi bermeterai.

Sebaliknya, perintah rasmi hanya diberikan pada 22 September 2025 melalui peguam pihak keluarga Allahyarhamah.

Sejurus menerima perintah itu, wang RM1.3 juta itu dipindahkan ke akaun bank pentadbir pusaka dalam tempoh empat hari bekerja yang turut dikelolakan oleh beliau sendiri.

“Sepanjang tempoh ini, saya telah menjalankan tanggungjawab sebagai pentadbir pusaka seperti diarahkan mahkamah sejak 2021.

“Dakwaan bahawa saya menafikan hak anak yatim atau mengambil harta mereka adalah fitnah yang tidak berasas,” tegas beliau.

Justeru, beliau menyeru semua pihak supaya tidak membuat kenyataan yang boleh memesongkan fakta sebenar, merosakkan reputasi dan menjejaskan integriti sistem kehakiman.

Beliau menekankan bahawa tindakan undang-undang kali kedua itu adalah untuk memastikan fitnah tidak terus tersebar dan digunakan sebagai kandungan media sosial atau promosi perniagaan oleh pihak tertentu.

Malah, beliau melahirkan keyakinannya bahawa kebenaran akan terbukti dan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT serta mahkamah untuk menegakkan keadilan.

Beliau berharap tiada lagi pihak akan menimbulkan isu berkaitan harta pusaka dan membenarkan mahkamah memutuskan perkara ini secara adil.

“Saya percaya bahawa kebenaran akhirnya akan terbukti. Kita serahkan kepada mahkamah untuk memutuskan perkara ini dan berharap selepas ini tiada lagi pihak yang akan menimbulkan isu-isu berkaitan dengan harta pusaka ini,” katanya.

Allahyarhamah Faziani meninggal dunia pada 17 Mei 2019 akibat kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand semasa dalam perjalanan untuk menyumbangkan derma ke sebuah pondok tahfiz.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button