Malaysia rekod 42.2 juta pelawat pada 2025, kerajaan perkukuh jentera pelancongan menjelang TMM2026
KUALA LUMPUR – Malaysia merekodkan sebanyak 42.2 juta ketibaan pelawat sepanjang tahun 2025, sekali gus meletakkan industri pelancongan sebagai antara pemacu utama ekonomi negara dan menyediakan asas kukuh bagi pelaksanaan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kempen berkenaan perlu dilaksanakan secara tersusun, bersepadu dan berimpak tinggi dengan penyelarasan merentas kementerian dan agensi.
“Dengan kesepaduan semua pihak, Kempen TMM2026 diyakini dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi, membuka peluang pekerjaan dan mengangkat Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan dan Kebudayaan (JKPK) Bil. 1/2026 di Parlimen di ibu negara hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, mesyuarat itu memberi penekanan kepada pendekatan menyeluruh melibatkan seluruh jentera kerajaan bagi memastikan TMM2026 mencapai objektif pelaksanaannya.
“Pendekatan itu merangkumi aspek pengangkutan, keselamatan, penerbangan, komunikasi dan ekonomi bagi menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, memanjangkan tempoh tinggal serta meningkatkan perbelanjaan pelancong secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, beberapa isu dasar turut dibincangkan termasuk Malaysia My Second Home (MM2H), Program Visa Premium (PVIP), kawal selia kenderaan pelancongan, pembangunan hab transit umrah serta potensi pelancongan kapal persiaran.
Tambahnya, pelaksanaan semua inisiatif berkenaan memerlukan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, sektor swasta dan penggiat industri dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai peneraju.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








