SPRM tahan dua individu terlibat penyelewengan dana pelaburan RM300 juta
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu serta menjalankan penggeledahan di lima premis sekitar Lembah Klang pada 21 dan 22 Januari lalu bagi membantu siasatan dalam kes penyelewengan dana pelaburan berjumlah RM300 juta.
Susulan itu, SPRM membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana pelaburan dipercayai melibatkan seorang individu berpengaruh bergelar Tan Sri.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati antara tahun 2021 hingga 2024, sejumlah hampir RM300 juta berjaya dikutip daripada kira-kira 1,700 pelabur bagi tujuan pelaburan melibatkan dua buah syarikat.
Bagaimanapun, hasil semakan mendapati dana yang dikumpulkan berkenaan dipercayai telah diseleweng dan dibelanjakan bagi tujuan selain yang dipersetujui dalam perjanjian dengan para pelabur.
“Individu berkenaan dipercayai menggunakan status dan pengaruh beliau bagi menarik minat serta meyakinkan pelabur untuk menyertai skim pelaburan tersebut,” katanya kepada Malaysia Tribune.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan fokus siasatan kini tertumpu kepada usaha menjejak aliran dana yang diseleweng bagi tujuan pemulihan aset (recovery).
Terdahulu, Azam dilaporkan berkata, Tan Sri berusia 60 tahun yang juga pemilik sebuah syarikat swasta dan ahli kewangan Islam berkenaan ditahan baru-baru ini di ibu pejabat SPRM Putrajaya.
BACA: https://malaysiatribune.news/jenayah-mahkamah/sprm-tahan-tan-sri-disyaki-tipu-pelabur/
Turut ditahan seorang wanita yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah syarikat tersebut yang berpangkalan di Kuala Lumpur.
Siasatan tersebut turut melibatkan kepakaran Bahagian Analisa Kewangan SPRM serta Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM.
Setakat ini, sebanyak 14 akaun individu dan syarikat telah dibekukan bagi membantu siasatan.
SPRM kini sedang menunggu maklum balas pihak bank berhubung baki akaun-akaun tersebut dan menjangkakan lebih banyak akaun akan dibekukan selepas proses penjejakan aliran wang selesai dilaksanakan.
Dalam pada itu, SPRM menegaskan komitmen untuk menjalankan siasatan secara profesional, telus dan tegas, memandangkan kes ini melibatkan jumlah wang yang besar serta kepentingan awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








