MCMC teguh laksana tugas dan fungsi penguatkuasaan
Pelihara integriti maklumat dan keharmonian masyarakat
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kekal berpendirian teguh dalam melaksanakan tugas dan fungsi penguatkuasaannya bagi menjaga integriti maklumat dan keharmonian masyarakat.
Menurut suruhanjaya berkenaan, selaku badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia di dalam negara, segala tindakannya adalah berpandukan peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Salah satu tanggungjawab perundangan utama MCMC adalah memastikan platform dalam talian tidak diguna untuk sebarang pelakuan atau percubaan melakukan pelanggaran di bawah undang-undang bertulis, termasuk tindakan menyebarkan berita palsu, kandungan yang jelik dan berunsur fitnah.
Namun, kata MCMC, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam penerbitan berita yang kurang bertanggungjawab, kurang peka dan kurang tepat.
“Terdapat organisasi media yang telah menerbitkan kandungan yang tidak tepat dan mengelirukan.
“Beberapa organisasi media didapati tidak bertanggungjawab menyebarkan berita yang mengelirukan atau dengan sengaja menyiarkan kandungan kurang tepat.
“Apabila tumpuan diberi kepada kandungan media yang dijana sendiri pengguna menarik perhatian, etika kewartawanan kini seolah-olah dipandang enteng dan adalah amat mencabar untuk membezakan kandungan yang berlandaskan fakta atau sebaliknya,” katanya.
MCMC berkata, senario tersebut memberi ancaman kepada keharmonian masyarakat memandangkan maklumat yang mengelirukan disebar dengan mudah dan menimbulkan naratif yang kurang tepat.
Suruhanjaya itu juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan beberapa sesi dialog dan mesyuarat bersama organisasi media bagi membincangkan isu berbangkit.
Kenyataan dikeluarkan MCMC adalah susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh lapan tokoh media yang menggesa suruhanjaya tersebut tidak bertindak bagaikan ‘Abang Besar’ dalam mengawal media.
Mereka melahirkan kerisauan, kebanyakan kandungan yang dilabelkan sebagai ‘menyinggung’ adalah laporan dan pendapat yang dianggap kritikal terhadap kerajaan.