2 warga asing jadi pesalah pertama dihukum khidmat masyarakat kerana buang sampah
JOHOR BAHRU – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mencatat satu detik penting dalam penguatkuasaan undang-undang kebersihan negara apabila dua individu menjadi pesalah pertama dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) atas kesalahan membuang sampah kecil di tempat awam.
Kedua-dua pesalah yang merupakan warga asing didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru selepas didapati membuang puntung rokok dan botol plastik di kawasan awam sekitar Jalan Stulang Laut, di sini.
Menurut SWCorp, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 77A(1), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) yang memperuntukkan hukuman denda serta membolehkan mahkamah mengenakan Perintah Khidmat Masyarakat sebagai hukuman tambahan di bawah subseksyen 77B(1).
Bagi kes pertama melibatkan seorang wanita warga Indonesia berusia 49 tahun, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM500 dan penjara 15 hari sekiranya gagal membayar denda.
Pesalah turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama enam jam dalam tempoh enam bulan, dengan pelaksanaan maksimum dua jam sehari.
Sementara itu, bagi kes kedua melibatkan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 28 tahun, mahkamah membenarkan permohonan penterjemah selepas didapati lelaki itu tidak memahami Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.
Mahkamah menetapkan 28 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta membenarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia.
SWCorp berkata, kes ini merupakan yang pertama di Malaysia melibatkan pelaksanaan hukuman khidmat masyarakat bagi kesalahan membuang sampah kecil sejak peruntukan tersebut dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu.
Selain itu, sebanyak 13 lagi kes serupa dijadualkan untuk sebutan di beberapa Mahkamah Sesyen di seluruh negara antara 26 Januari hingga 16 Februari ini, membabitkan pesalah tempatan dan warga asing.
Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed berkata, tindakan mahkamah itu bukan semata-mata bertujuan menghukum, sebaliknya memberi peringatan tegas kepada masyarakat bahawa perbuatan membuang sampah, walaupun berskala kecil, tidak lagi boleh dipandang ringan.
“SWCorp akan terus mempergiat penguatkuasaan secara menyeluruh dan berterusan sebagai langkah pencegahan bagi membentuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat terhadap kebersihan persekitaran.
“Orang ramai turut digesa memainkan peranan dengan melaporkan sebarang kesalahan kebersihan awam kepada SWCorp bagi memastikan persekitaran negara kekal bersih dan sejahtera,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





