Bekas PAT mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan rasuah, pecah amanah
KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohd Nizam Jaffar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan dan menerima wang tunai RM752,482 serta melakukan pecah amanah melibatkan RM3 juta.
Bagaimanapun, Mohd Nizam Jaffar, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan terhadap keempat-empat pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
“Faham, tidak mengaku salah Yang Arif,” katanya di mahkamah, memetik laporan BH Online.
Bagi dua pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan, Mohd Nizam didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjawat jawatan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT).
Untuk pertuduhan pertama, beliau didakwa menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM267,481.90 untuk dirinya sendiri dengan melantik syarikat Sinar Bakti Global menjalankan kerja Pembekalan Kain Pelikat Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025 bernilai RM468,000.
Beliau juga didakwa melantik Sinar Raudhah Global bagi kerja Pembekalan Kain Batik Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025 bernilai RM52,000, serta Zahra Jaya Global untuk kerja Pembekalan Multifunctional Folding Pliers Untuk Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025 bernilai RM750,000 kepada TKAT, yang mana tertuduh mempunyai kepentingan.
Selain itu, Mohd Nizam turut berdepan pertuduhan menerima wang berjumlah RM752,482 serta satu pertuduhan pecah amanah membabitkan RM3 juta, menjadikan keseluruhan kes melibatkan empat pertuduhan di bawah undang-undang berkaitan rasuah dan salah guna kuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








