BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

MALBATT 850-12 bukti keupayaan pasukan pengaman Malaysia di Lubnan – PAT

PORT DICKSON – Kejayaan MALBATT 850-12 di bumi Lubnan sepanjang penugasan di bawah United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL) membuktikan kemampuan Malaysia sebagai pasukan pengaman yang disegani dunia seterusnya mengangkat maruah negara.

Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar menyifatkan kontinjen berkenaan sebagai antara pasukan paling cemerlang pernah dihantar ATM, meskipun beroperasi dalam suasana keselamatan yang tidak menentu.

“Majlis ini bukan sahaja menandakan tamatnya sebuah penugasan, tetapi noktah penuh pengertian terhadap keberanian, kesabaran dan ketabahan setiap anggota. Cabaran yang dihadapi bukan sedikit, namun mereka tetap teguh menggalas amanah negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perbarisan Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu (PNBB) dan Majlis Pembubaran MALBATT 850-12 di PUSASDA di sini, semalam.

Kontinjen itu secara rasmi menyerahkan tugas kepada MALBATT 850-13 pada 15 November lalu sebelum dibubarkan oleh PAT.

Menurut PAT, anggota MALBATT 850-12 telah mengharumkan nama negara sepanjang 12 bulan beroperasi di selatan Lubnan, selaras reputasi Malaysia sebagai pasukan pengaman yang berdisiplin dan profesional.

“Di hadapan saya hari ini berdirinya wira dan wirawati negara. Setiap langkah mereka di bumi Lubnan adalah cerminan maruah Malaysia,” ujarnya.

Seramai tujuh pegawai dan seorang anggota Lain-Lain Pangkat menerima Pingat PNBB sebagai pengiktirafan PBB terhadap komitmen dan prestasi cemerlang mereka.

Kontinjen MALBATT 850-12 turut dibarisi 852 anggota termasuk penyertaan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) serta 10 peratus anggota wanita, selaras resolusi PBB menggalakkan penyertaan wanita dalam misi pengaman.

Dalam pada itu, PAT turut merakam penghargaan kepada ABDB yang disifatkan membantu memperkukuh kekuatan operasi gabungan dua negara.

“Kehadiran dan kerjasama mereka menjadikan ketumbukan kita lebih utuh, dihormati dan disegani,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button