BERITA SEMASAPMX

Kerajaan sumbang RM100,000 kepada KAFA Saidatina Aisyah

BENTONG – Kerajaan menyalurkan sumbangan RM100,000 bagi membantu pengukuhan pembelajaran di KAFA Saidatina Aisyah, Taman Harmoni di sini, sebagai komitmen berterusan memperkasa pendidikan asas agama dalam usaha membina generasi muda berakidah kukuh dan berjati diri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pusat pendidikan seperti KAFA Saidatina Aisyah merupakan antara inisiatif Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang digerakkan bagi memenuhi keperluan asas agama di peringkat awal, sekali gus menjadi akar kepada pembentukan dan kebangkitan generasi muda.

“Kerajaan menyalurkan sumbangan RM100,000 bagi membantu keperluan dalam pengukuhan pembelajaran di KAFA Saidatina Aisyah,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program bersama pelajar, guru dan ibu bapa di pusat pendidikan berkenaan sejurus selesai acara di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah.

Menurutnya, negara mendambakan anak muda yang terpahat imannya, diperkaya dengan ilmu serta disemai roh perjuangan, yang seterusnya melahirkan keyakinan sanubari yang utuh kepada Allah serta keberanian untuk berfikir, bertindak dan memimpin berteraskan nilai.

Katanya, sokongan berterusan kerajaan terhadap KAFA adalah berasaskan keyakinan bahawa pendidikan asas agama mampu membina akidah, membentuk akhlak dan nilai, selain melahirkan disiplin, kerajinan serta keberanian meneroka bidang baharu, termasuk memperteguh semangat menegakkan kebenaran dan keadilan.

“Dalam kerangka negara MADANI, kita mahu kemajuan teknologi, digital dan kecerdasan buatan bergerak seiring dengan ihsan, rahmah serta nilai kemanusiaan agar pembangunan tidak terpisah daripada akar dan adab,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri turut berpesan kepada para pelajar supaya terus mendengar nasihat ibu bapa, rajin menimba ilmu serta memperkukuh hafalan demi masa depan yang lebih baik dan diberkati.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button