BERITA SEMASA

COC Laut China Selatan berpotensi dimuktamadkan tahun ini – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kod Tatakelakuan (CoC) Laut China Selatan berpotensi dimuktamadkan dalam tempoh tahun ini, sekali gus menjamin perairan berkenaan kekal sebagai laluan yang bebas, selamat serta terbuka kepada semua pihak.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan rundingan berkaitan CoC setakat ini telah mencapai kemajuan sekitar 70 peratus, malah banyak perkara yang dibincangkan dalam dokumen CoC itu telah pun mendapat persetujuan pelbagai pihak.

“Kita jangkakan CoC ini dapat dimuktamadkan pada tahun ini, jika boleh segera, kerana banyak perkara yang dibincangkan dalam dokumen CoC ini telah pun mendapat persetujuan pelbagai pihak.

“CoC ini bukan merupakan instrumen untuk menyelesaikan pertindihan kawasan. Ia tidak berkaitan dengan pertindihan kawasan, yang sebaliknya diselesaikan secara bilateral atau multilateral.

“CoC merupakan satu kerangka di mana Laut China Selatan mestilah menjadi laut yang bebas, boleh digunakan oleh semua pihak, sebagai laluan perdagangan, dan sentiasa selamat untuk semua pihak,” katanya ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia tetap akan meneruskan latihan ketenteraan di perairan Laut China Selatan walaupun selepas CoC dimuktamadkan, khususnya berkaitan pelaksanaan latihan ketenteraan.

Menurutnya, latihan tersebut akan dilaksanakan bersama pelbagai negara berdasarkan hubungan dua hala dan pelbagai hala, tanpa memfokuskan kepada mana-mana negara secara khusus.

“Kebimbangan bahawa latihan bersama sesebuah negara dianggap sebagai provokasi terhadap negara lain, itu bukan dalam agenda kita.

“Kita tidak perlu berbuat demikian kerana Malaysia adalah negara maritim dan memerlukan keadaan yang aman dalam kawasan perairan kita,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button