BERITA SEMASA

Menteri Luar akan beri taklimat kepada Kabinet cadangan AS tubuh Lembaga Keamanan Gaza

SEREMBAN – Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan memberi taklimat kepada Jemaah Menteri berhubung cadangan penubuhan Lembaga Keamanan Gaza diketuai Amerika Syarikat (AS) ketika mesyuarat Kabinet, Jumaat ini.

Beliau berkata, Malaysia perlu berhati-hati dengan cadangan berkenaan kerana ia bukan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tetapi AS dan beberapa negara lain.

“Saya akan memberi taklimat kepada Kabinet pada hari Jumaat nanti. Apa pelan tindakan dan peranan yang Malaysia boleh lakukan, tetapi yang pentingnya kita perlu berhati-hati.

“Kita tidak mahu nanti kita terperangkap di tengah jalan kerana dilantik dalam lembaga itu begitu sahaja, tapi akhirnya mereka (yang lain) letak jawatan.

“Malaysia akan mengambil bahagian dengan syarat kita mendapat mandat daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Senawang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, lembaga berkenaan adalah inisiatif yang dilakukan oleh Presiden AS Donald Trump bersama dengan bantuan kerajaan Turki, Mesir, Qatar dan juga negara lain yang mahu melihat supaya kekejaman terhadap rakyat Palestin dihentikan.

“Bagaimanapun, kita kena lihat dulu kerana lembaga ini adalah badan yang longgar. Bukan ditubuhkan oleh PBB tetapi oleh Amerika Syarikat dan juga rakan-rakannya.

“Fokus kita ialah selagi ia dapat memberikan keamanan dan rakyat Palestin boleh pulang ke tanah air mereka selain ada bantuan kemanusiaan disalurkan terutamanya makanan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button