BERITA SEMASA

Tempatkan anjing liar di satu pulau khas – Ahli Parlimen Langkawi

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah mencadangkan satu pulau khas dikhususkan bagi menempatkan anjing-anjing yang berkeliaran di Langkawi.

Beliau berkata, pulau itu boleh dilengkapi dengan pelbagai fasiliti veterinar bagi menjaga kebajikan haiwan-haiwan tersebut sekali gus menjadi satu lagi tarikan pelancong untuk ke Langkawi.

Tambahnya, masalah anjing yang berkeliaran di Langkawi telah dibawa ke Parlimen sejak Mac dua tahun lalu namun tiada penyelesaian yang menyeluruh.

“Pihak Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) telah bertindak cermat dengan membina kandang-kandang. Anjing-anjing ini ditangkap dan dikasi tetapi tidak ditidurkan kerana bangkangan daripada pencinta haiwan.

“Pada September 2023, saya sekali lagi membawa isu ini ke dalam dewan dengan memaklumkan bahawa anjing liar ini hampir setiap minggu menggigit pelancong. Tetapi laporan kes-kes ini tidak diperbesarkan kerana mahu menjaga reputasi Langkawi sebagai pusat pelancongan,” katanya dalam satu sidang akhbar di Parlimen, semalam.

Jelas beliau, walaupun pihak MPL telah bertindak mengikut bidang kuasa, Langkawi menghadapi masalah kekurangan dana untuk terus menyimpan anjing-anjing ini.

“Isu ini turut dibawa ke Kamar Khas Parlimen pada 29 November 2023. Data daripada laporan pihak polis menunjukkan, 20 kes gigitan anjing antara 2020 hingga 2023, dan Data Kes Notifikasi Gigitan Anjing Liar dan Haiwan Liar Jabatan Kesihatan menunjukkan 16 serangan anjing liar antara 2020 hingga 2023.

“Pada tahun 2022, sebanyak 455 ekor anjing ditangkap pada 2022 dan 440 ekor ditangkap pada 2023. Namun ada anjing-anjing yang diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan telah dilepaskan semula.

“Justeru, saya mencadangkan supaya satu pulau khas dikhususkan untuk anjing-anjing ini yang mana ia boleh dijaga dengan kerjasama NGO dan pihak berkuasa tempatan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button