Darjah 1 enam tahun: PAS Selangor bimbang lambakan pelajar ancam kualiti pengajaran
SHAH ALAM – Cadangan pelaksanaan kemasukan murid Darjah 1 pada usia enam tahun dan prasekolah lima tahun mulai tahun depan menimbulkan kebimbangan khususnya berkaitan isu kapasiti kelas yang kini disifatkan terlalu padat sehingga boleh menjejaskan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff berkata, walaupun pendekatan itu telah diamalkan di hampir 130 negara dan berdasarkan kajian membawa kesan positif, Malaysia perlu lebih berhati-hati memandangkan sistem pendidikan sedia ada sedang berdepan pelbagai isu lain.
Menurut beliau, isu keselamatan murid di sekolah, kebolehcapaian orang luar ke kawasan sekolah, masalah di asrama, buli serta tekanan mental dan emosi dalam kalangan pelajar masih belum ditangani sepenuhnya.
Namun, katanya, perkara paling kritikal yang perlu diberi perhatian ialah kapasiti kelas yang terlalu ramai sehingga mencapai sekitar 60 murid bagi satu kelas, khususnya di sekolah rendah.
“Dalam satu kelas yang mempunyai sehingga 60 murid, sukar untuk seorang guru memberikan fokus pengajaran yang berkesan, apatah lagi bagi murid Darjah 1, 2 dan 3 yang memerlukan perhatian lebih,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan pelaksanaan kanak-kanak berumur lima tahun mengikuti pendidikan prasekolah, manakala kemasukan ke Darjah 1 pada umur enam tahun mulai tahun depan adalah tertakluk kepada mereka yang dikenal pasti benar-benar bersedia.
Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan ujian diagnostik bagi mengenal pasti tahap kesediaan, kekurangan dan keperluan kanak-kanak yang terlibat.
Baca juga : Prasekolah 5 tahun, darjah 1 enam tahun bagi murid bersedia – Fadhlina
Dalam pada itu, Dr Yusfarizal turut berkongsi pengalaman di sebuah sekolah baharu di Selangor yang mencatatkan sehingga 60 murid dalam satu kelas, sekali gus menyukarkan guru mengenali murid secara terperinci termasuk kelemahan dan keperluan pembelajaran mereka.
Yusfarizal membandingkan situasi itu dengan sekolah antarabangsa yang mempunyai bilangan murid lebih kecil, sekitar 15 hingga 20 orang bagi satu kelas, yang membolehkan pengajaran dijalankan dengan lebih efektif.
Beliau menegaskan, kemasukan murid enam tahun ke Darjah 1 akan menambah satu lagi peringkat umur ke dalam sistem sekolah sedia ada, sekali gus meningkatkan penggunaan fasiliti bilik darjah yang ketika ini sudah tidak mencukupi.
“Kita bercakap tentang kanak-kanak berusia enam tahun yang masih rapuh dan memerlukan perhatian bukan sahaja dari segi pembelajaran, malah pengurusan diri seperti ke tandas, pakaian dan aspek kendiri lain,” katanya.
Menurut beliau, walaupun terdapat cadangan pelaksanaan sesi pagi dan petang, kaedah itu dilihat masih gagal menampung lambakan murid sehingga menyebabkan kelas sedia ada menjadi terlalu padat.
Mengulas cadangan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan ujian kesediaan sebelum membenarkan murid enam tahun memasuki Darjah 1, Yusfarizal berpandangan kebanyakan ibu bapa tetap akan menghantar anak mereka bagi mengelakkan ketinggalan.
Katanya, situasi itu berpotensi menyebabkan lambakan murid jika kawalan dan persediaan tidak dilakukan secara teliti dan berhemah.
“Jika silap langkah, masalah ini hanya akan diselesaikan selepas ia berlaku dan ketika itu sudah terlambat,” katanya sambil menegaskan keperluan melihat sistem pendidikan secara holistik dan bukan melalui pendekatan cuba dan gagal.
Tegas Dr Yusfarizal lagi, fokus utama ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha mengurangkan bilangan murid dalam satu kelas bagi memastikan kualiti pendidikan dapat dipertingkatkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








