Prasekolah 5 tahun, darjah 1 enam tahun bagi murid bersedia – Fadhlina
PUTRAJAYA – Pelaksanaan kanak-kanak berumur lima tahun mengikuti pendidikan prasekolah, manakala kemasukan ke Darjah 1 pada umur enam tahun mulai tahun depan adalah tertakluk kepada mereka yang dikenal pasti benar-benar bersedia.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu selari dengan keperluan memastikan potensi kanak-kanak digerakkan lebih awal melalui peluang pendidikan yang bersesuaian, tanpa menjejaskan perkembangan mereka.
Menurut beliau, perancangan kemasukan awal ke sekolah pada umur enam tahun sebenarnya telah dibincangkan dalam rangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), namun pelaksanaannya diawalkan setelah mengambil kira kesediaan dan potensi kanak-kanak.
“Ini penting kerana kita mesti meyakinkan ibu bapa bahawa ada anak-anak yang telah bersedia lebih awal. Lebih banyak peluang, lebih baik anak-anak masuk sekolah lebih awal,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, langkah pertama yang perlu dilakukan ialah ibu bapa mengenal pasti sama ada anak mereka bersedia atau sebaliknya untuk mengikuti pendahuluan pembelajaran di peringkat formal.
Pada masa sama, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan melaksanakan ujian diagnostik bagi mengenal pasti tahap kesediaan, kekurangan dan keperluan kanak-kanak yang terlibat.
Selain itu, KPM juga akan membuat unjuran keperluan guru baharu memandangkan kemasukan kanak-kanak ke Darjah 1 akan berlaku lebih awal bermula tahun hadapan.
“Isu prasarana turut menjadi tumpuan utama apabila jumlah kohort murid Darjah 1 dijangka meningkat.
“Kita akan tetapkan satu tempoh masa untuk mengumpul semua data, termasuk jumlah kanak-kanak enam tahun di seluruh negara. Ujian akan dilaksanakan dan ibu bapa yang anaknya telah bersedia boleh meneruskan proses pendaftaran,” katanya.
Kanak-kanak berusia enam tahun yang dikenal pasti bersedia dari segi perkembangan kognitif, emosi dan sosial akan diberi peluang untuk memulakan pembelajaran dengan kemasukan ke Darjah 1 pada tahun 2027.
Fadhlina turut menasihatkan ibu bapa agar tidak panik dan menilai kesediaan anak masing-masing secara teliti dengan bantuan pihak kementerian.
“Kalau memang sudah bersedia, kita sangat alu-alukan untuk mereka memulakan pembelajaran lebih awal daripada biasa,” katanya.
Beliau menegaskan, kementerian sentiasa berhati-hati dalam pelaksanaan dasar ini dengan memastikan hanya kanak-kanak yang benar-benar bersedia memulakan kemasukan awal.
“Penyelesaiannya ialah kita mulakan dengan yang bersedia dahulu. Sebab itu kita akan umumkan garis masa pelaksanaannya,” katanya.
Tambah beliau, ibu bapa perlu membuat keputusan dengan berbincang secara mendalam sebelum pendaftaran dibuat, selain memastikan isu prasarana diuruskan dengan baik.
“Daripada data itu, kita akan susun persiapan. Kohort sedia ada tujuh tahun diteruskan dan ditambah satu lagi kohort enam tahun untuk masuk. Itu persiapan kita,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








