BERITA SEMASABISNES & EKONOMI

Farm Fresh sumbang susu, smartboard perkasa prasekolah di Pulau Pinang

PULAU PINANG – Usaha memperkasa pendidikan dan nutrisi murid seawal usia prasekolah terus diperkukuh apabila sebanyak 150,000 pek susu UHT serta 10 unit smartboard disumbangkan kepada prasekolah di negeri ini menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Farm Fresh Berhad.

Menurut Farm Fresh, program tersebut mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali syarikat berkenaan melaksanakan CSR yang memberi tumpuan khusus kepada murid prasekolah, sebagai sebahagian daripada agenda menyokong pembangunan pendidikan negara.

Menerusi inisiatif “Nutrisi Untukmu”, sebanyak 150,000 pek susu UHT bersamaan satu kontena bernilai kira-kira RM250,000 diagihkan kepada murid prasekolah di seluruh Pulau Pinang.

“Susu Farm Fresh GROW yang dibekalkan diperbuat daripada susu lembu semula jadi dan diperkaya dengan DHA (daripada alga), serat Inulin, kalsium serta vitamin D bagi menyokong tumbesaran optimum.

“Ia turut mengandungi protein berkualiti tinggi serta diperkaya dengan 22 jenis vitamin dan mineral tambahan. Produk bersaiz 125 mililiter (ml) itu dirumus khas untuk kanak-kanak prasekolah dan bebas maltodekstrin, kalsium karbonat serta minyak sayuran,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Majlis Serahan Smartboard Prasekolah dan Flag Off Susu UHT Farm Fresh GROW Percuma itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menyifatkan kerjasama sektor swasta dan kerajaan sebagai langkah tepat dalam memastikan murid mendapat akses pendidikan dan pemakanan berkualiti sejak peringkat awal.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal.

Baca juga : Farm Fresh raih Anugerah Platinum kali kelima di Putra Brand Awards 2025

farm fresh
Murid prasekolah menerima sumbangan susu UHT percuma dan kemudahan smartboard bagi memantapkan pembelajaran interaktif.

Dalam pada itu, Program Sumbangan Smartboard yang memasuki tahun kedua pelaksanaannya menyaksikan 28 prasekolah terpilih di 10 negeri menerima kemudahan tersebut bagi tahun 2026 dengan nilai keseluruhan sumbangan mencecah RM210,000.

Daripada jumlah berkenaan, 10 unit diperuntukkan kepada prasekolah di Pulau Pinang manakala selebihnya diagihkan ke negeri lain di bawah kontrak perbekalan Program Susu Sekolah.

“Pemilihan sekolah penerima dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), selain pihak sekolah turut diberikan latihan teknikal dan bimbingan penggunaan bagi memastikan kemudahan itu dimanfaatkan secara optimum dalam sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Untuk rekod, Farm Fresh sebelum ini dilantik sebagai pembekal susu sekolah di bawah Kontrak Program Susu Sekolah anjuran KPM bagi tempoh 2025 hingga 2029 melibatkan 10 negeri di Semenanjung Malaysia.

Syarikat itu menegaskan, inisiatif susu percuma kepada murid prasekolah berkenaan merupakan usaha tambahan di luar obligasi kontrak sebagai komitmen berterusan memperkasa nutrisi dan pendidikan generasi masa depan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button