ADUN Beseri dedah dijemput tandatangani SD tolak kepimpinan MB Perlis
CYBERJAYA – Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis mendedahkan beliau dijemput untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menarik sokongan terhadap Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar Perlis, baru-baru ini.
ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun yang juga Ketua Pemuda PAS Perlis itu berkata, jemputan berkenaan dibuat oleh seorang individu yang bertindak sebagai ‘broker’.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, sebagai seorang ADUN yang dipilih oleh parti, adab dan prinsipnya adalah merujuk terlebih dahulu kepada pimpinan PAS Pusat dan PAS Negeri.
“Selepas mendapatkan nasihat, saya tidak hadir dan tidak terbabit kerana jemputan tidak dibuat secara rasmi,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Rabu lalu, PAS memutuskan keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu terhenti serta-merta susulan tindakan mereka menandatangani SD yang didakwa menjejaskan kepimpinan kerajaan negeri.
Tiga ADUN tersebut adalah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).
ADUN Sanglang, Mohd Shukri pula meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar selepas itu.
Mengulas lanjut, Haziq berkata, tindakan tiga ADUN PAS yang menandatangani SD tanpa pengetahuan dan kebenaran parti adalah satu pengkhianatan yang jelas dan tidak perlu dipolemikkan lagi.
Haziq berkata, sekiranya mereka memaklumkan kepada parti berkaitan adanya usaha itu, beliau yakin PAS Pusat tidak akan mengambil tindakan.
Beliau turut yakin ruang perbincangan dan islah masih terbuka luas untuk menyelesaikan sebarang isu dalaman sekiranya SD itu tidak ditandatangani.
“Namun, tindakan tiga ADUN ini yang bertindak di belakang parti dan mengambil jalan sendiri dengan menandatangani SD tersebut telah melangkaui batas disiplin jamaah,” katanya.
Beliau berkata, tindakan terhadap ketiga-tiga ADUN berkenaan perlu dijadikan pengajaran besar kepada seluruh ahli PAS, bukan sahaja di Perlis tetapi di seluruh negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








