BERITA SEMASADALAM NEGERIPOLITIK

Naikkan import daging babi langkah kurangkan pencemaran ladang – PAS Selangor

SHAH ALAM – Cadangan meningkatkan import daging babi wajar dipertimbangkan sebagai antara langkah mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar akibat penternakan tempatan, kata Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff.

Menurut beliau, pendekatan itu boleh dilihat sebagai satu cadangan yang munasabah dan adil, khususnya dalam menghormati keperluan rakan-rakan bukan Islam yang menjadikan daging babi sebagai sumber protein, namun pada masa sama tidak berkompromi terhadap isu pencemaran alam sekitar.

“Bagi saya idea untuk mengimport ini idea yang baik, cuma perlu kajian teliti dari segi kos dan kesan kepada harga. Kita tidak boleh ambil sikap tidak peduli soal kenaikan harga kerana itu juga tidak adil,” katanya.

Baca juga : PAS persoal keperluan ladang babi berkeluasan 500 ekar di Bukit Tagar

Beliau berkata, pengeluaran tempatan ketika ini masih berada pada tahap tinggi walaupun terjejas akibat wabak, dan keadaan itu boleh dikurangkan secara berperingkat dengan menambah kadar import bagi mengimbangi permintaan serta mengurangkan pencemaran ladang yang telah terbukti.

Mengulas isu pencemaran di Tanjung Sepat, Yusfarizal berkata tindakan kerajaan negeri sepatutnya diambil segera untuk memindahkan atau menutup ladang-ladang babi yang terbukti mencemarkan alam sekitar di kawasan tersebut.

Katanya, kunjungan media dan wakil PAS ke kawasan itu jelas menunjukkan pencemaran berlaku di depan mata apabila bau busuk yang meloyakan dapat dihidu, selain sistem saliran yang airnya berwarna hitam dan berkeladak.

“Kalau kita rujuk Enakmen Pengawalan Penternakan Babi Negeri Selangor 1991, Seksyen 19 jelas menyatakan mahkamah boleh mengarahkan penutupan ladang serta-merta. Persoalannya, kenapa tindakan ini tidak diambil selama berpuluh-puluh tahun walaupun bukti pencemaran jelas?” katanya.

Beliau berkata, kegagalan penguatkuasaan undang-undang itu menyebabkan keadaan berlarutan sehingga Sultan Selangor terpaksa bertitah mempersoalkan mengapa pemindahan ladang perlu menunggu sehingga tahun 2030 dan bukan dilaksanakan segera.

Namun demikian, Yusfarizal melahirkan kekecewaan apabila sehingga kini masih belum kelihatan sebarang pergerakan jelas berkaitan proses atau perancangan pemindahan ladang-ladang berkenaan.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan cadangan kerajaan negeri memindahkan ladang babi ke Bukit Tagar, termasuk jaminan bahawa kawasan seluas 500 hektar itu tidak akan menimbulkan pencemaran baharu.

Katanya, model yang dirujuk kerajaan negeri di Pulau Pinang masih belum menyelesaikan sepenuhnya masalah pencemaran walaupun konsep ladang tertutup dan teknologi biogas dilaksanakan.

“Kita masih melihat saliran hitam dan berkeladak, malah ada isu kekurangan najis untuk menjana biogas sehingga terpaksa diangkut dari lokasi lain. Jadi menjadikan Pulau Pinang sebagai model rujukan di Bukit Tagar adalah tidak munasabah dan tidak rasional,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan mengenai risiko pencemaran terhadap loji rawatan air di kawasan Bukit Tagar sekiranya berlaku kebocoran atau penyerapan efluen ke dalam sistem saliran.

Sehubungan itu, Yusfarizal menegaskan kerajaan negeri perlu segera mencari tapak alternatif sekiranya gagal meyakinkan rakyat bahawa Bukit Tagar benar-benar selamat dari segi biosekuriti, penggunaan tanah dan risiko pencemaran.

“Rakyat menuntut jaminan. Jika jaminan itu tidak dapat diberikan, maka sudah sampai masanya kerajaan mencari tapak alternatif dengan kajian rapi termasuk EIA dan SIA,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button