PM X

Anwar puas hati dengan prestasi agensi kerajaan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim  menzahirkan rasa puas hati dengan prestasi yang ditunjukkan agensi kerajaan sepanjang tempoh beliau memimpin pentadbiran negara sejak lapan bulan lalu.

Perdana Menteri berkata, sepanjang tempoh tersebut, tiada sebarang kecurangan, ketirisan atau kerosakan, terutama skala besar yang berlaku.

Sehubungan dengan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan, menjadikan Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) sebagai contoh kerana mempamerkan prestasi yang baik dalam pengurusan syarikat tersebut.

“Saya sudah lapan bulan mengetuai kerajaan. Saya bangga kerana saya telah meneropong dan menelusuri… setiap agensi dipantau, diteliti kalau ada apa-apa kecurangan, ketirisan, kerosakan, terutama dalam skala besar.

“Saya bersyukur… Alhamdulillah kerana setakat ini, AmanahRaya dianggap berprestasi baik.

“Saya harap semangat ini dikekalkan. Ia tidak hanya terletak pada pimpinan tetapi seluruh keluarga,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) Yang Ke-100, di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut melancarkan logo khas 100 tahun AmanahRaya.

AmanahRaya merupakan syarikat milik penuh kerajaan bawah Menteri Kewangan Diperbadankan, Kementerian Kewangan. Syarikat itu ditubuhkan pada 1921 sebagai peneraju industri perancangan pusaka dan pengurusan harta di Malaysia.

Tambah Anwar, beliau turut menekankan bahawa memegang amanah adalah satu tanggungjawab besar, selari dengan perintah Allah yang terkandung dalam al-Quran.

“Mengabaikan atau mengkhianati amanah anak yatim dan orang miskin, al-Quran menyebut itu orang yang mendustakan.

“Sebab itu sementara saya beri pujian mengawal jumlah berbilion ringgit, tetapi kalau lihat dari konteks itu, maka kita harus terpanggil dan tersentuh perasaan.

“Kita tingkatkan lebih baik, termasuk meningkatkan tahap pengurusan, terima idea baru dan transformasi digital yang diperlukan,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button