Lebih 800 pemilik Royal Enfield takluk litar Sepang
SEPANG – Peluang menunggang motosikal di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang menjadi pentas pemotoran bertaraf dunia pastinya menjadi impian setiap peminat motosikal.
Bagi ratusan pemilik jentera Royal Enfield, impian itu menjadi realiti pada hujung minggu lalu apabila mereka berpeluang merasai sendiri pengalaman menunggang di litar ikonik yang selama ini sinonim dengan perlumbaan F1 dan MotoGP.
Pengalaman itu bukan sekadar acara tunggangan biasa malah mencatat sejarah baharu apabila diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai perhimpunan terbesar jenama itu di Malaysia dengan penyertaan seramai 850 orang.
Acara bersejarah yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang itu menghimpunkan penunggang dari seluruh negeri di Semenanjung Malaysia yang berkonvoi dari Royal Enfield Petaling Jaya ke SIC dengan semangat kebersamaan dan persaudaraan dalam minat yang sama.
Perhimpunan anjuran Didi Group itu menampilkan keseluruhan rangkaian model Royal Enfield termasuk model klasik seperti Bullet dan Classic 350, Interceptor 650, Shotgun, Guerrilla 450, Continental GT, Himalayan serta Super Meteor 650.

Ramai penunggang sanggup menempuh perjalanan jauh semata-mata untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu yang diraikan menerusi Parade Ride dan perhimpunan beramai-ramai di litar kebanggaan negara tersebut.
Pengerusi Didi Group, Rewi Hamid Bugo berkata, acara itu bukan sahaja mencipta rekod baharu, malah mengangkat jenama dan komuniti Royal Enfield ke tahap lebih tinggi.
“Acara ini menghimpunkan pemilik daripada pelbagai kaum dan latar belakang di bawah satu matlamat bersama iaitu mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records dengan 850 pemilik.
“Tenaga dan semangat yang ditunjukkan amat luar biasa dan menjadi permulaan yang cukup bermakna bagi tahun 2026,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersial Royal Enfield, Yadvinder Singh Guleria berkata, pencapaian tersebut membuktikan kekuatan komuniti penunggang Royal Enfield di Malaysia.
“Rekod ini melambangkan semangat bersama dan kekuatan komuniti. Royal Enfield akan terus memperluaskan rangkaian dan keupayaan di rantau Asia Pasifik serta membina komuniti penunggang yang lebih kukuh,” katanya.
Malaysia Book of Records mengiktiraf pencapaian tersebut sebagai perhimpunan terbesar motosikal Royal Enfield pernah direkodkan di negara ini.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








