LUAR NEGARA

‘Pengiktirafan Israel ke atas Somaliland hanya muslihat untuk pindahkan warga Palestin secara paksa’

DUBAI – Pengiktirafan Israel ke atas ke atas wilayah pemisah Somaliland hanyalah satu muslihat kerana rejim zionis itu didakwa merancang untuk memindahkan rakyat Palestin secara paksa ke wilayah berkenaan.

Dakwaan itu dibuat Menteri Pertahanan Somalia, Ahmed Moalim Fiqi, ketika muncul dalam satu wawancara bersama Al Jazeera, semalam.

Beliau turut mengecam rancangan itu sebagai satu “pelanggaran serius” terhadap undang-undang antarabangsa sambil menyifatkan pengiktirafan yang diumumkan lewat tahun lalu itu sebagai satu “serangan langsung” terhadap kedaulatan Somalia.

“Israel sejak sekian lama mempunyai matlamat dan rancangan untuk memecah-belahkan negara-negara, mungkin sejak 20 tahun lalu, dan ia mahu membahagikan peta Timur Tengah serta menguasai negara-negara di dalamnya… sebab itulah mereka menemui kumpulan pemisah ini di barat laut Somalia.

“Kami mempunyai maklumat yang disahkan bahawa Israel mempunyai rancangan untuk memindahkan rakyat Palestin dan menghantar mereka ke [Somaliland],” katanya dalam wawancara tersebut.

Kenyataan Fiqi itu dibuat di tengah-tengah bantahan global terhadap keputusan Netanyahu pada Disember lalu untuk mengiktiraf Somaliland, iaitu sebahagian wilayah Somalia yang memisahkan diri dan merangkumi bahagian barat laut yang dahulunya merupakan Protektorat British.

Langkah itu menjadikan Israel sebagai negara pertama di dunia yang mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara merdeka, dan dibuat beberapa bulan selepas agensi berita The Associated Press melaporkan bahawa pegawai Israel telah menghubungi pihak-pihak di Somalia, Somaliland dan Sudan untuk membincangkan penggunaan wilayah mereka bagi memindahkan rakyat Palestin secara paksa, di tengah perang genosid Israel di Gaza.

Somalia mengecam tindakan Israel itu, dengan Presiden Hassan Sheikh Mohamud memberitahu Al Jazeera bahawa Somaliland telah menerima tiga syarat daripada Israel: penempatan semula rakyat Palestin, penubuhan pangkalan tentera di pantai Teluk Aden, dan menyertai Perjanjian Abraham untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button