SUKAN

Malaysia dipilih sebagai tuan rumah kejohanan sepak takraw dunia 2026 di KL

KUALA LUMPUR – Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyasarkan untuk terus memperkukuh kecemerlangan sukan sepaktakraw negara menerusi pelbagai perancangan strategik sepanjang tahun 2026, termasuk penganjuran kejohanan berprestij di peringkat antarabangsa.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan
Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan

Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM yang berlangsung semalam bagi menilai prestasi sepanjang tahun 2025 serta merangka hala tuju baharu bagi tahun ini.

Menurut beliau, PSM merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan sepak takraw kebangsaan yang berjaya melakar sejarah apabila merangkul pingat emas dalam acara berpasukan dan regu pada Sukan SEA 2026 di Thailand baru-baru ini.

“Kejayaan ini adalah hasil usaha gigih atlet, jurulatih serta sokongan padu semua pihak termasuk peminat dan penyokong di seluruh negara yang tidak putus memberi doa dan dorongan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi tahun 2026, beberapa kejohanan utama akan menjadi tumpuan antaranya Piala Emas Khir Johari, Piala Tun Ali, Sukan Asia 2026 serta Sepaktakraw League (STL) 2026.

Dalam pada itu, PSM turut memaklumkan bahawa Malaysia telah diberikan mandat oleh Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia Sepaktakraw 2026 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur, melibatkan penyertaan 26 buah negara.

“Penganjuran kejohanan ini juga bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus memberi peluang besar untuk mempromosikan sukan sepak takraw serta negara di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.

PSM turut merakamkan penghargaan kepada ISTAF atas pengiktirafan yang diberikan kepada Mohd Syahir Rosdi yang dinobatkan sebagai Pemain Tekong Terbaik Dunia.

Beliau turut berkata, Program Pembangunan Sepaktakraw Kebangsaan (NSTDP) akan ditambah baik tahun ini bagi memastikan pembangunan pemain lelaki dan wanita diperluaskan ke seluruh negara dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat pelapis di peringkat negeri dan kebangsaan.

Selain itu, PSM juga akan menganjurkan lebih banyak kursus dan bengkel kejurulatihan serta pengadilan sepanjang 2026 bagi membuka peluang kepada individu yang berminat menceburi bidang tersebut.

“Harapan kami untuk tahun ini adalah agar sepak takraw negara terus mencatat kejayaan yang membanggakan serta kekal sebagai antara kuasa besar dunia dalam sukan ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button