Isu Venezuela bukti pendirian berprinsip Malaysia di pentas antarabangsa – PM
PUTRAJAYA – Pendirian Malaysia terhadap perkembangan di Venezuela mencerminkan komitmen konsisten negara ini dalam mempertahankan prinsip keadilan sejagat, undang-undang antarabangsa dan kerukunan global tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun Malaysia merupakan sebuah negara membangun, pendirian dasar luar negara sentiasa berpaksikan prinsip kedaulatan, keadilan dan penghormatan terhadap undang-undang antarabangsa.
“Malaysia ialah negara yang bebas dan berdaulat. Kita berpegang kepada prinsip undang-undang dan kerukunan antarabangsa serta mengambil pendirian yang tegas dan konsisten, sama ada dalam isu Gaza, Venezuela atau sebelum ini dalam menentang dasar aparteid di Afrika Selatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.
Semalam, Anwar dilaporkan mengkritik penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isterinya, Cilia Flores dalam satu operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) yang disifatkannya sebagai pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa.

Menurut beliau, tindakan AS itu, yang dianggap luar biasa dari segi skop dan sifatnya merupakan satu bentuk penggunaan kekerasan secara tidak sah terhadap sebuah negara berdaulat, selain menuntut agar pemimpin Venezuela itu dibebaskan segera.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan pendirian Malaysia bukan bersifat bermusim atau selektif, sebaliknya berakar daripada tradisi dasar luar negara sejak awal kemerdekaan yang memperjuangkan keadilan, menentang penindasan dan menyokong kemerdekaan negara-negara yang pernah dijajah.
Katanya, prinsip sama terus menjadi panduan Kerajaan MADANI dalam menilai isu-isu antarabangsa, termasuk perkembangan di Venezuela, selaras dengan komitmen Malaysia terhadap keamanan dan kestabilan global.
Dalam pada itu, Anwar berkata, keupayaan Malaysia menyuarakan pendirian berprinsip di peringkat antarabangsa diperkukuh oleh kestabilan politik dan perpaduan dalam negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri membolehkan Malaysia merangka hala tuju yang jelas serta melaksanakan keputusan penting secara kolektif sebagai sebuah pasukan yang padu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







