PM umum tambahan geran RM10 juta untuk pemandu teksi miliki kenderaan baharu
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tambahan geran padanan RM10 juta untuk membantu pemandu teksi mendapatkan kenderaan baharu, berikutan kejayaan skim yang sama sebelum ini.
Anwar berkata, permintaan tinggi untuk menggantikan teksi lama terbukti apabila dana RM10 juta daripada Belanjawan 2026 habis dimanfaatkan pemandu dalam masa hanya tiga bulan.
“Kerana sambutannya baik, saya luluskan hari ini tambahan RM10 juta lagi. Ini khusus untuk teksi,” katanya ketika merasmikan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.
Beliau berkata, kerajaan tetap dengan pendirian bahawa permit teksi perlu dimiliki oleh pemandu sendiri, bukan pihak ketiga, sekali gus memastikan golongan itu memperoleh manfaat secara langsung daripada usaha pembaharuan industri teksi negara.
Menurutnya, bagi mengurangkan beban pemandu teksi, kerajaan menjalinkan kerjasama strategik bersama Proton, institusi kewangan, dan kementerian berkaitan untuk menawarkan pakej pemilikan yang lebih kompetitif, merangkumi pengurangan kos pembiayaan, penyelenggaraan, serta perkhidmatan selepas jualan yang lebih efisien.
Anwar berkata, pemandu teksi berpotensi meraih pendapatan antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan hasil daripada pendekatan kerajaan yang mengutamakan pengurangan kos operasi dan sokongan pembiayaan yang lebih cekap.
Dalam masa sama, Anwar berkata, pemandu teksi juga perlu dibantu menyesuaikan diri dengan penggunaan teknologi baharu termasuk aplikasi tempahan digital, justeru kementerian berkaitan digesa membawa latihan terus ke stesen teksi bagi memudahkan penyertaan mereka tanpa menjejaskan masa mencari rezeki.
Beliau turut menyifatkan pemandu teksi sebagai antara duta negara yang memainkan peranan penting dalam membentuk tanggapan pelancong terhadap Malaysia menerusi layanan, profesionalisme dan imej perkhidmatan, sambil menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh kebajikan golongan itu melalui pelbagai inisiatif yang bersesuaian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















