BERITA SEMASA

Majikan swasta disaran pertimbang aturan kerja fleksibel

CYBERJAYA – Majikan sektor swasta diseru agar mempertimbangkan pelaksanaan aturan kerja fleksibel seperti yang diamalkan dalam sektor awam, termasuk kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu penting bagi mengurangkan penggunaan bahan api, meredakan tekanan kos serta mengekalkan produktiviti dan moral tenaga kerja.

Menurut beliau, dalam suasana ekonomi mencabar ketika ini, majikan perlu lebih anjal dan pragmatik dalam mengurus operasi masing-masing.

“Dalam menghadapi risiko tekanan kos, majikan juga wajar lebih anjal dan pragmatik dalam mengurus operasi,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Majlis Sambutan Hari Hasil Ke-30 Tahun 2026 di sini hari ini.

Anwar berkata, sektor swasta tidak boleh terus selesa dengan kaedah lama dalam dunia yang semakin berubah.

“Inilah masa terbaik untuk mempercepatkan peningkatan produktiviti, meningkatkan pelaburan dalam inovasi dan automasi serta mencipta nilai tambah yang mampan.

“Kerajaan telah menyediakan kerangka Ekonomi MADANI serta dasar yang jelas untuk mengangkat martabat dan harakat negara.

“Sektor swasta mesti memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang dibuka oleh ikhtiar reformasi ini,” katanya lagi.

Beliau menambah, segala aspirasi tersebut tidak akan menjadi kenyataan tanpa iltizam bersama untuk melaksanakannya secara bersungguh-sungguh.

Anwar turut berkata, dunia kini berdepan ketidaktentuan serius susulan konflik yang berterusan di Asia Barat, sekali gus mengancam kestabilan serantau.

Menurutnya, jika krisis tersebut berlarutan, negara berisiko berdepan kesan ekonomi lebih sistemik termasuk peningkatan kos logistik, tekanan harga yang berterusan serta gangguan kepada sektor pembuatan.

“Situasi itu menjadikan pengurusan hasil dan perbelanjaan negara lebih kritikal berbanding sebelum ini.

“Dalam saat mencabar ini, seluruh jentera kerajaan mesti memperkukuh tatakelola; setiap ringgit mesti dibelanjakan dengan berhemah, ruang ketirisan mesti ditutup dan usaha memperluas asas hasil serta meningkatkan pematuhan mesti dipergiat,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button