BERITA SEMASA

Graduan pendidikan TVET genggam ijazah pada usia 55 tahun selepas 30 tahun menanti

KUALA LUMPUR – Penantian selama tiga dekad akhirnya berbalas apabila seorang graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Zulkifli Rahmat, berjaya menggenggam segulung ijazah pada usia 55 tahun, sekali gus membuktikan faktor usia bukan penghalang untuk mengejar impian.

Zulkifli menerima Ijazah Keusahawanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia pada Majlis Konvokesyen Kemahiran, Keusahawanan dan Kesukarelawan TVETEC Malaysia 2025 yang berlangsung baru-baru ini.

Beliau yang mula menceburi bidang jahitan sejak berusia 25 tahun akhirnya mendapat pengiktirafan daripada TVETEC Malaysia selepas berjaya memperkasa pendidikan TVET berteraskan kemahiran, keusahawanan dan semangat kesukarelawan, meskipun terpaksa menunggu hampir 30 tahun untuk peluang tersebut.

Bapa tunggal kepada tiga anak itu berkata, perjalanan panjang untuk bergelar graduan merupakan satu proses pembelajaran yang penuh cabaran dan diibaratkan sebagai universiti kehidupan.

“Alhamdulillah, saya secara rasmi bergelar graduan apabila menerima Ijazah Keusahawanan TVET Malaysia dan amat bersyukur kepada Allah kerana pada usia ini diberikan rezeki untuk menggenggam segulung ijazah.

“Bagi sesetengah orang, apalah sangat sekadar graduan TVET, tetapi bagi saya ia sangat bermakna. Jika orang lain hanya menunggu dua atau tiga tahun untuk mendapatkan diploma atau ijazah, kami graduan TVET mengambil masa 20 hingga 30 tahun untuk sampai ke tahap ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Majlis konvokesyen yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu menyaksikan seramai 260 individu menerima pengiktirafan daripada TVETEC Malaysia selepas berjaya muncul sebagai usahawan serta ikon belia dalam bidang masing-masing.

Antara syarat untuk menerima ijazah berkenaan ialah individu perlu berada dalam industri lebih 20 tahun selain memiliki premis perniagaan serta pekerja sendiri.

Tvet
Selebritri Ifa Raziah (kiri) turut menerima Ijazah Keusahawanan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Malaysia.

Majlis konvokesyen tahun kedua itu turut memberi pengiktirafan kepada golongan selebriti dan profesional antaranya Ifa Raziah, Ustazah Asni Mansur, Siso Kopratasa serta Saidatulnisa Aminulddin yang dikenali sebagai juru solek artis dan diraja.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, beliau dan rakan-rakan graduan lain amat terharu kerana masih ada pihak yang menghargai golongan berkemahiran walaupun tidak berpeluang menyambung pengajian di universiti.

“Di usia senja begini, siapalah yang mahu mengiktiraf kami. Namun apabila ada pihak yang sudi menawarkan peluang sebegini, ia bagaikan pucuk dicita ulam pun tiba.

“Kami menerimanya dengan besar hati dan sangat menghargainya. Siapalah yang tidak ingin menyarungkan jubah graduasi dan menggenggam segulung ijazah penghargaan daripada sebuah institusi pendidikan tinggi.

“Walaupun ia mungkin tidak lagi berguna buat masa ini, biarlah ia menjadi hadiah berharga buat saya dan graduan TVET semua. Berilah kami peluang untuk bergembira meraikan momen indah ini,” katanya.

Zulkifli yang memiliki Butik Dzulldeclassique cukup dikenali dengan rekaan pakaian, khususnya baju Melayu dalam kalangan lelaki sejak akhir 1990-an.

Rekaan baju Melayu hasil sentuhannya sering terpampang di majalah dan digayakan oleh golongan kenamaan serta artis, sekali gus menjadikan jenama Dzulldeclassique kekal bertahan sehingga kini.

Beliau memulakan perniagaan menjahit
baju Melayu pada tahun 1993 sebelum menyewa di Arked Mara Kajang dua tahun kemudian.

Kini, Zulkifli berpindah ke bangunan baharu di Jalan Reko yang dibelinya pada 2016 dengan nilai melebihi RM1 juta.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button