Usaha petani, penternak dan nelayan asas keterjaminan makanan negara – Mohamad Sabu
PUTRAJAYA – Usaha dan sumbangan golongan petani, penternak dan nelayan amat besar kerana menjadi tunjang kepada kelangsungan bekalan makanan untuk rakyat Malaysia.
Perkara itu ditegaskan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu yang merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada golongan berkenaan menerusi perutusan Tahun Baharu 2026 di Facebook, hari ini.
“Usaha dan pengorbanan anda semua merupakan asas kepada keterjaminan makanan negara.
“Tanpa mengenal penat lelah, anda terus berbakti di sawah, ladang dan lautan demi memastikan hasil tuaian, ternakan dan tangkapan sentiasa mencukupi di meja makan rakyat Malaysia. Jasa dan sumbangan anda amat dihargai dan tidak ternilai,” katanya.
Beliau turut menzahirkan harapan kepada seluruh rakyat Malaysia agar tahun 2026 membawa kesejahteraan, perpaduan dan kehidupan yang lebih baik buat semua.
“Semoga kita terus bersatu hati, saling menyokong dan bersama-sama memperkukuh kekuatan negara demi masa depan yang lebih cerah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan kementeriannya akan terus komited memperkasa sektor pertanian, perikanan dan penternakan melalui sokongan berterusan, inovasi serta dasar yang berteraskan kebajikan rakyat.
“Bersama kita jayakan keterjaminan makanan negara demi kesejahteraan rakyat Malaysia. Selamat Tahun Baharu 2026,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







