Mohamad Sabu pertahan galakan tanam sayur sendiri
PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan galakan kepada rakyat menanam sayur sendiri bukan langkah populis, sebaliknya sebahagian daripada strategi berlapis kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan mengenai kenyataan seorang Ahli Parlimen yang mendakwa cadangan menanam sayur sendiri tidak mampu menyelesaikan isu keterjaminan makanan negara.
Mohamad berkata, kementeriannya sedar langkah kecil seperti menanam sayur tidak akan memberi kesan langsung kepada faktor global seperti harga minyak atau baja.
“Memang benar dua pokok cili tidak akan menurunkan harga minyak dunia dan sepasu kangkung tidak akan menstabilkan harga urea global. Itu saya pun tahu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sentiasa memantau perkembangan semasa termasuk konflik geopolitik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan makanan global.
“Setakat pemantauan dibuat, saya memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara masih stabil dan mencukupi. Namun kami tidak leka,” tegasnya.
Beliau menjelaskan kenaikan harga bahan api berpotensi memberi kesan kepada nelayan kategori Vessel C2 dan C3 yang tidak menerima subsidi diesel selain meningkatkan kos logistik agromakanan yang boleh menekan harga runcit.
Selain itu, peningkatan harga urea global juga boleh meningkatkan kos input pertanian dan menjejaskan produktiviti jika penggunaan baja dikurangkan.

Menurutnya, bekalan jagung bijian dan kacang soya untuk makanan ternakan, selain benih tanaman dan ternakan ruminan turut bergantung kepada sumber luar yang terdedah kepada gangguan global.
Sehubungan itu, KPKM telah mengambil beberapa langkah awal bagi memperkukuh bekalan makanan negara.
Antara langkah yang diambil termasuk meningkatkan stok penimbal beras melalui Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) daripada 200,000 tan metrik kepada 300,000 tan metrik.
Selain itu, kementerian turut mengadakan libat urus dengan PETRONAS bagi memastikan bekalan urea mencukupi pada harga terkawal serta memperkukuh kawasan pengeluaran makanan seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), Taman Kekal Pengeluaran Ruminan (TKPR), Zon Industri Akuakultur (ZIA) dan kawasan pembangunan pertanian bersepadu (IADA).
Dalam jangka panjang, kementerian merangka sembilan hala tuju strategik termasuk pembangunan pengeluaran jagung bijian tempatan, pengukuhan industri ruminan, pembangunan baka Ayam Saga, peningkatan produktiviti padi serta pengukuhan industri akuakultur.
Mohamad berkata, galakan kepada rakyat menanam sayur melalui program Kebuniti dan Kebun Dapur Isi Rumah bukan kerana kerajaan tiada pelan besar, sebaliknya sebagai satu lapisan tambahan dalam strategi keterjaminan makanan.
Beliau memberi contoh negara maju seperti Singapura yang melaksanakan sasaran ’30 by 30′ bagi meningkatkan pengeluaran makanan tempatan serta Jepun yang turut menggalakkan komuniti menanam sebagai sebahagian dasar keselamatan makanan.
“Saya memberi jaminan bahawa KPKM akan terus bekerja, memantau geopolitik, menstabilkan bekalan, mengurangkan kebergantungan import dan memperkukuh pengeluaran domestik.
“Dan ya, kita akan terus galakkan rakyat menanam kerana dalam dunia yang tidak menentu, berdikari bukan slogan. Ia strategi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








