Gema Syukur 2026 himpunkan belia, suburkan kesyukuran menjelang ambang tahun baharu
PUTRAJAYA – Program Gema Syukur 2026 yang bakal berlangsung pada ambang tahun baharu di Masjid Putra, di sini, tampil dengan pelbagai pengisian kerohanian dan keilmuan bagi menyemarakkan kesyukuran serta muhasabah diri menjelang tirai tahun baharu.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, program selama dua hari bermula 31 Disember hingga 1 Januari 2026 itu merupakan kesinambungan kepada kejayaan Gema Syukur 2025 yang telah menarik penyertaan ribuan masyarakat dari seluruh negara, khususnya golongan muda.
Menurut beliau, penglibatan institusi masjid, agensi kerajaan Persekutuan serta pertubuhan bukan kerajaan yang aktif dalam bidang kebajikan, kemanusiaan dan pembangunan ummah mencerminkan pendekatan ‘whole of society’ dalam memperluas manfaat program kepada masyarakat.
“Sambutan yang memberangsangkan membuktikan pendekatan pengisian kerohanian dan keilmuan semakin diterima sebagai satu keperluan dalam mendepani perubahan zaman, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan nilai insani secara holistik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Program anjuran JAKIM itu mendapat kerjasama 13 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta melibatkan pelbagai rakan strategik termasuk Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), MyFundAction, Du’at Al-Falah dan sokongan Perbadanan Putrajaya.
Sirajuddin berkata, pengisian program pada 31 Disember merangkumi bacaan Yasin dan doa selamat, tadabbur al-Quran, podcast bertajuk Membina Ummah Rahmah, sesi Empowering Global Muslim Communities, selawat munajat serta bacaan doa keberkatan sempena awal tahun 2026.
Sementara itu, program pada 1 Januari akan dimulakan dengan qiamullail seawal jam 4.45 pagi yang diimamkan oleh Ustaz Muhammad Ammar Mukhlis bin Abdul Mohsin, diikuti forum Subuh bertajuk Islam Mekar di Bumi Malaysia: Apa Peranan Kita?, penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf serta sarapan pagi secara beramai-ramai.
Dalam pada itu, beliau berkata, program tersebut turut menyantuni 100 orang asnaf melalui penyampaian bantuan tunai sebanyak RM200 setiap seorang oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), manakala MyFundAction menyumbangkan bakul makanan asas.
“Inisiatif MADANI Membantu ini diharapkan dapat meringankan beban golongan asnaf di samping menyemai rasa syukur dan memberikan sinar harapan dalam menyambut kehadiran tahun baharu,” katanya.
Tambah beliau, bagi memastikan keselesaan jemaah, jamuan makanan terbuka disediakan sepanjang program dengan 10 jenis menu merangkumi hidangan berat, ringan serta minuman panas dan sejuk, selain hadiah istimewa sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan negeri-negeri berhampiran dijemput hadir memeriahkan Program Gema Syukur 2026 di Masjid Putra bermula pukul 3 petang hingga 9 pagi keesokan harinya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








