SPRM panggil tiga individu, siasat perolehan projek tentera
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil tiga individu bagi merakamkan keterangan untuk membantu siasatan berhubung perolehan projek tentera yang dipercayai mempunyai unsur rasuah.
Menurut sumber, ketiga-tiga individu berkenaan dipanggil semalam ketika SPRM mempergiatkan siasatan yang bermula sejak 23 Disember lalu, termasuk meneliti beberapa akaun yang disyaki berkait dengan amalan rasuah dalam proses perolehan projek.
“Siasatan awal mendapati, dari 2023 hingga 2025, terdapat 158 projek perolehan tentera bernilai melebihi RM500,000, selain 4,521 projek lain bernilai di bawah RM500,000.
“Pemeriksaan awal mendapati beberapa syarikat dilihat kerap memperoleh projek bernilai tinggi, sekali gus menimbulkan keraguan, namun pemprofilan terperinci terhadap syarikat-syarikat terbabit masih belum dijalankan,” kata sumber itu.
Dalam perkembangan sama, SPRM turut menerima satu aduan semalam dan merakamkan keterangan Ketua BERSATU Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard, yang hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada tengah hari bagi menyalurkan maklumat berkaitan dakwaan perolehan projek ketenteraan.
Aktivis itu mendakwa wujud ‘aliran tunai besar’ dalam akaun bank seorang pegawai serta ahli keluarganya yang disyaki berpunca daripada syarikat-syarikat yang memperoleh projek ketenteraan.
Beliau berkata, berdasarkan dokumen audit forensik yang diterimanya secara tanpa nama, pegawai berkenaan didakwa menerima kemasukan wang antara RM50,000 hingga RM60,000 setiap bulan ke dalam akaun banknya.
Dokumen sama, menurutnya, turut menunjukkan pemindahan wang dalam jumlah lebih besar, mencecah ratusan ribu ringgit, ke akaun yang dikaitkan dengan pegawai terbabit, dipercayai daripada akaun syarikat-syarikat yang memperoleh projek tentera.
Susulan dakwaan itu, SPRM pada Selasa mengunjungi ibu pejabat Kementerian Pertahanan bagi memulakan siasatan awal terhadap beberapa projek tentera sejak 2023, dengan tumpuan kepada projek melalui kaedah tender terbuka serta perolehan di bawah pusat tanggungjawab tentera.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan menegaskan siasatan dijalankan secara bebas, profesional serta berasaskan fakta dan bukti selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |













