JENAYAH & MAHKAMAH

Kebakaran Taman Rathna: Anak mangsa disyaki bertindak sendirian

GEORGE TOWN – Siasatan polis berhubung kebakaran di Taman Rathna, Butterworth yang meragut nyawa seorang wanita dan anak angkatnya pada 10 Dis lalu mendapati perbuatan itu berkemungkinan dilakukan oleh anak lelaki mangsa yang bertindak bersendirian.

Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail, pihaknya kini sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut.

“Buat masa ini, siasatan lanjut masih dijalankan. Motif sebenar tindakan suspek masih belum dikenal pasti kerana dia masih menerima rawatan di hospital.

“Bagaimanapun, hasil siasatan kami mendapati terdapat unsur jenayah dan dipercayai suspek bertindak secara bersendirian,” katanya, di sini hari ini.

Azizee berkata, laporan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) turut menemukan kesan petrol di dalam rumah berkenaan.

Laporan media sebelum ini menyebut, Hayani Yaakob, berusia lingkungan 50-an, dan anak angkatnya Andra yang berusia lima tahun, maut dalam kebakaran tersebut.

Jasad kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan rentung bersebelahan berhampiran pintu utama rumah berkenaan.

Anak lelaki mangsa yang berusia lingkungan 20-an pula dilaporkan cedera selepas dihempap runtuhan bumbung rumah ketika kejadian.

Polis telah menahan anak lelaki mangsa bagi membantu siasatan berhubung kebakaran tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button