BERITA SEMASA

Marhamah Rosli sifatkan pelantikannya sebagai satu amanah besar, mencabar

KUALA LUMPUR – Marhamah Rosli menyifatkan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Agama merupakan
satu amanah besar dan mencabar.

Beliau berkata, pelantikan itu menuntut ketelitian, disiplin serta kesediaan untuk terus belajar dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Menurut beliau, dengan segala keterbatasan diri, amanah tersebut diterima dengan penuh rasa tanggungjawab sambil memohon doa dan bimbingan daripada semua pihak agar dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negara.

“Saya berharap sedikit pengalaman yang saya ada sepanjang bekerja di lapangan bersama masyarakat dapat dimanfaatkan untuk membangunkan institusi agama serta memperkasakan peranan wanita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Marhamah turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan.

Beliau menegaskan amanah tersebut bukan untuk diraikan, sebaliknya perlu dipikul dan dilaksanakan dengan penuh kesedaran dan komitmen.

Pada masa sama beliau juga menerima segala respon dan pandangan daripada pelbagai pihak sebagai teguran yang membina, selain menganggap setiap perkara yang berlaku, sama ada positif atau negatif, sebagai bentuk bimbingan daripada Allah SWT.

“Segala yang berlaku adalah dengan izin Allah dan saya yakin Allah tidak pernah salah dalam menetapkan ketentuan.

“Insya-Allah, amanah ini akan saya galas dengan penuh tanggungjawab, disiplin dan komitmen sepenuhnya untuk membantu memperkukuh dasar serta pelaksanaan agenda hal ehwal agama agar lebih dekat dengan rakyat,” ujarnya.

Sementara itu, Marhamah turut memohon doa daripada semua pihak dan menegaskan bahawa fokus utamanya kini adalah untuk bekerja dan berkhidmat sebaik mungkin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button