Penuntut IPT didakwa lakukan persetubuhan luar tabii, amang seksual terhadap calon SPM
PASIR MAS – Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini, atas dua pertuduhan berkaitan persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima di Lata Janggut, Jeli pada 29 November lalu.
Tertuduh, Muhammad Yushakimi Jamaludin, 21, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah, memetik laporan BH Online.
Pertuduhan pertama mendakwa tertuduh dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang berusia 17 tahun 10 bulan di dalam sebuah Perodua Myvi di tempat letak kereta Lata Janggut pada pukul 2.30 petang.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 377B dengan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pertuduhan kedua melibatkan amang seksual fizikal terhadap mangsa di lokasi dan tarikh yang sama, didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh diwakili peguam, Habibah Wahab.
Siti Aiysha menawarkan jaminan RM20,000 manakala peguam tertuduh memohon jaminan minima memandangkan anak guamnya masih menuntut di universiti dan berada di bawah tanggungan ibu bapa.
Mahkamah akhirnya menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes.
Media sebelum ini melaporkan kejadian berlaku ketika sepasang remaja itu cuba melakukan hubungan seks di dalam kereta namun terganggu oleh kehadiran polis.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun memaklumkan tertuduh dipercayai membawa pelajar Tingkatan Lima yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke lokasi tersebut sebelum cubaan persetubuhan berlaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








