JPN Johor nafi dakwaan murid dihalang ambil SPM, tegas komitmen pastikan tiada calon tercicir
JOHOR BAHRU – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor menafikan dakwaan tular yang mendakwa seorang murid dihalang daripada menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan menegaskan pihaknya komited memastikan tiada calon tercicir daripada peperiksaan penting itu.
Dalam kenyataan hari ini, JPN Johor mengesahkan siasatan mendapati murid berkenaan tidak mendaftar untuk menduduki SPM 2025 bukan kerana isu buli seperti dakwaan awal tetapi kerana murid berhenti sekolah pada tahun 2024.
“Murid berhenti atas permintaan penjaga untuk mengikuti bidang kemahiran dan tindakan pemulihan berkaitan isu buli sebelum ini telah diberikan oleh pihak sekolah,” kata kenyataan tersebut.
Menurutnya lagi, satu perjumpaan khas antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan penjaga murid terbabit telah diadakan dan kedua-dua pihak bersetuju bahawa murid berkenaan akan menduduki SPM pada tahun hadapan.
“Unit Bimbingan dan Kaunseling sekolah juga telah memberikan bantuan berkaitan urusan pendaftaran sebagai calon SPM 2026.
“Bagi memastikan murid terbabit terus mendapat peluang pendidikan dan kemahiran, GIATMARA menawarkan tajaan penuh pengajian selama enam bulan bermula Januari 2026 manakala Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) daerah menanggung sewaan bilik selama enam bulan bagi memudahkan murid mengikuti program kemahiran berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, JPN Johor turut merakam penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, GIATMARA dan PIBKS atas usaha bersama menjaga kebajikan dan pendidikan murid tersebut.
“JPN Johor terus komited memastikan tiada keciciran murid dalam menduduki SPM,” tegas kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






