Lima terkorban dalam pertempuran terbaharu Thailand-Kemboja
BANGKOK – Pertempuran terbaharu di sempadan Thailand–Kemboja kembali meragut nyawa apabila lima individu dilaporkan terkorban termasuk seorang anggota tentera selepas Thailand melancarkan serangan udara ke atas wilayah jirannya itu semalam.
Konflik yang kembali memuncak sejak Ahad lalu sekali lagi mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap keselamatan ratusan ribu penduduk di kawasan sempadan yang dipertikaikan, memetik laporan beberapa agensi berita antarabangsa.
Second Army Region memaklumkan, kira-kira 35,000 penduduk Thailand telah dipindahkan dari kawasan berisiko, manakala Kemboja turut melaporkan perpindahan besar-besaran di beberapa wilayah.
Pertempuran lima hari pada Julai lalu telah mengorbankan 43 nyawa dan memaksa hampir 300,000 penduduk kedua-dua negara berpindah sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan.

Walaupun kedua-dua negara menandatangani perjanjian baharu bulan lalu yang turut disokong Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika itu, insiden letupan periuk api dan tuduhan pencerobohan terus mencetuskan ketegangan.
Sejak Ahad, pegawai di Bangkok dan Phnom Penh mengesahkan pertempuran sporadik di sepanjang garis sempadan.
Menteri Penerangan Kemboja, Neth Pheaktra, berkata empat orang awam terbunuh akibat tembakan meriam Thailand di Preah Vihear dan Oddar Meanchey, selain 10 lagi cedera termasuk seorang wartawan yang terkena serpihan roket.
Tentera Thailand pula mengesahkan seorang anggotanya maut dan 18 cedera sejak pertelingkahan terbaharu tercetus.
Desakan antarabangsa turut meningkat. Kesatuan Eropah (EU) meminta kedua-dua negara mengambil ‘kawalan maksimum’ bagi meredakan permusuhan manakala Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menggesa kedua-duanya kembali mematuhi gencatan senjata.
Di Bangkok, Kedutaan AS menasihatkan rakyatnya menjauhi kawasan dalam radius 50 kilometer dari sempadan susulan keadaan keselamatan yang tidak menentu.
Bagi penduduk setempat, situasinya cukup mencemaskan. Seorang petani, Pannarat Woratham, 59, berkata, dia melarikan diri ke kuil berhampiran di Surin petang kelmarin, lapor agensi berita AFP.
Di pihak Kemboja, seorang lagi penduduk, Hul Malis mendakwa, tentera Thailand memasuki kampung Prey Chan hanya 20 minit selepas dia meloloskan diri.
Prey Chan sebelum ini pernah menjadi lokasi konfrontasi besar antara ratusan penunjuk perasaan Kemboja dan pasukan Thailand pada September lalu. Kedua-dua negara menuntut kawasan tersebut sebagai sebahagian wilayah masing-masing.
Pheaktra memaklumkan sekurang-kurangnya 1,157 keluarga di Oddar Meanchey telah dipindahkan.
Pertikaian sempadan Thailand–Kamboja berakar sejak zaman kolonial Perancis dengan beberapa kuil kuno menjadi titik tuntutan yang berlarutan.
Pertempuran singkat dilaporkan pada Ahad, namun konflik meningkat mendadak sejak tengah malam semalam.
Jurucakap tentera Thailand, Winthai Suvaree, menjelaskan penggunaan kekuatan udara Thailand termasuk jet F-16 adalah ‘tindakan mempertahankan diri’ dan hanya mensasarkan posisi ketenteraan Kemboja.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata menolak kenyataan itu dan mendakwa Thailand melepaskan beberapa tembakan kereta kebal dan memperluaskan serangan biarpun Kemboja tidak membalas.
Thailand pula menuduh Kemboja menembak roket BM-21 ke arah kawasan awam di Buriram, namun tiada korban dilaporkan.
AS, China dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sebelum ini menjadi perantara kepada gencatan senjata pada Julai.
Trump turut menandatangani deklarasi bersama bagi mempromosikan perjanjian perdagangan baharu setelah kedua-dua negara bersetuju memanjangkan gencatan senjata.
Namun Bangkok menangguhkan perjanjian tersebut bulan berikutnya sekali gus menghidupkan kembali tuduhan saling menyerang.
Ketika ditanya mengenai campur tangan luar dan gesaan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kedua-dua negara mengutamakan diplomasi, Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul berkata:
“Kita sudah lama melepasi tahap itu. Jika mahu semuanya berhenti, beritahu pihak yang menyerang supaya menghentikan tindakannya dahulu.”
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








