Daddy Rock dalam keadaan kritikal, ditidurkan di Hospital Selayang
KUALA LUMPUR – Pelakon watak gangster popular, Daddy Rock kini dilaporkan berada dalam zon kritikal di Hospital Selayang dan ditidurkan selepas kedua-dua kakinya dilaporkan gagal berfungsi dipercayai akibat darah beku.
Perkembangan terkini mengenai keadaan Daddy Rock atau nama sebenarnya Shahrul Azman Mohd Shahril dimaklumkan pengarah, Hashim Rejab, menerusi satu hantaran di Facebook petang tadi.
Dalam hantaran berkenaan, Hashim turut berkongsi gambar Daddy Rock yang ditidurkan dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan, selain memuat naik dua penjelasan lanjut menerusi InstaStory akaun Papa Rock Never Dai di Instagram.
“Sekarang masih di zon merah Hospital Selayang,” menurut salah satu hantaran InstaStory tersebut.
Hantaran susulan menjelaskan keadaan Daddy Rock yang semakin membimbangkan apabila doktor memaklumkan kedua-dua kakinya tidak lagi berfungsi.
“Daddy sekarang dalam kritikal, doktor tidurkan Daddy.
“Kedua-dua kaki tidak berfungsi lagi kerana darah beku tersekat di bawah perut dan tidak lagi mengalir ke bahagian kaki.
“Doktor memaklumkan kaki Daddy harus dipotong, namun prosedur itu berisiko tinggi… atau dibiarkan bergantung pada ketahanan tubuh Daddy,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hantaran itu turut memaklumkan insiden berlaku ketika sambutan hari lahir Daddy Rock semalam, selain meminta orang ramai mendoakan kesembuhan beliau.
Rakan-rakan dan pengikut di Facebook Hashim turut membanjiri ruangan komen dengan doa agar Daddy Rock diberikan kesembuhan serta dipermudahkan segala urusan.
Pada Oktober 2021, Daddy Rock pernah dirawat di sebuah pusat perubatan di Bukit Rimau, Shah Alam selepas menjalani prosedur memasukkan sten bagi merawat saluran darah tersumbat.
Dalam dunia lakonan, Daddy Rock dikenali menerusi watak antagonis dalam filem dan drama seperti Kisah Paling Gangster, Jangan Pandang Belakang, Bohsia, Kampung People dan Gerak Khas.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








