
Jurugambar terkemuka Martin Parr meninggal pada usia 73 tahun
LONDON – Dunia fotografi dokumentari kehilangan salah seorang ikon terkemuka apabila Martin Parr, jurugambar British terkenal yang mengangkat keunikan kehidupan masyarakat dengan gaya lucu dan spontan, meninggal dunia pada usia 73 tahun.
Beliau sebelum ini didiagnosis menghidap kanser pada Mei 2021.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, Martin Parr Foundation memaklumkan:
“Dengan rasa sedih yang amat mendalam, kami mengumumkan bahawa Martin Parr telah meninggal dunia semalam di rumahnya di Bristol.
“Beliau meninggalkan isteri, Susie, anak perempuan Ellen, kakaknya Vivien, dan cucunya George. Keluarga mendiang memohon privasi pada waktu ini.
“Martin Parr Foundation dan Magnum Photos akan terus bekerjasama untuk memelihara dan berkongsi legasi beliau. Maklumat lanjut akan diumumkan kemudian. Martin akan sangat dirindui,” katanya memetik laporan The Guardian.
Parr merupakan salah seorang daripada jurugambar agensi Magnum Photos yang dianggap antara kumpulan jurugambar dokumentari dan jurnalis paling berpengaruh di dunia.

Dikenali kerana pemerhatiannya yang tajam terhadap sistem kelas di England, karya Parr sering menampilkan pengunjung pantai, kelab konservatif, pesta kampung dan sesi minum kopi dengan olah subjek berwarna terang.
Buku fotonya yang ikonik, The Last Resort (1986): Photographs of New Brighton, merakam pengunjung bercuti kelas pekerja di Wirral, Merseyside, menandakan perubahan besar dalam fotografi dokumentari British daripada gaya hitam putih yang suram kepada pendekatan lebih berwarna dan bersifat jenaka.
“Saya membuat gambar yang serius tetapi disamarkan sebagai hiburan,” kata Parr yang memandang fotografi sebagai medium mencerminkan realiti masyarakat.
Dilahirkan di Surrey pada 1952 dan membesar di Epsom, Parr mendapat inspirasi awal daripada datuknya, seorang jurugambar amatur dan telah memilih kerjaya itu sejak dari remaja.
Selepas latihan di Manchester Polytechnic, beliau menghabiskan beberapa musim mengambil gambar di Butlin’s, pada awalnya bersama rakan sebayanya, Daniel Meadows.

Di situ, Parr memerhati kad pos nostalgia berwarna terang karya John Hinde yang membentuk gaya fotografinya pada masa akan datang.
Setelah berpindah ke Hebden Bridge, West Yorkshire, beliau menumpukan fotografi pada komuniti sebelum bertemu isteri, Susan Mitchell dan berpindah ke pantai barat Ireland di mana beliau menerbitkan beberapa karya termasuk Bad Weather (1982) menggunakan kamera bawah air.
Namun, ketika pasangan ini menetap di Wallasey, Merseyside, Parr menghasilkan karya yang dianggapnya sebagai hasil terhebatnya.
Terinspirasi oleh jurugambar berwarna dari Amerika Syarikat seperti Joel Meyerowitz dan Stephen Shore, The Last Resort adalah hasil tiga musim panas di pantai New Brighton, merakam pembungkus ikan dan kentang goreng, kanak-kanak menangis serta taman permainan.

Mark Sealy, pengarah Autograph, berkata:
“Sesetengah orang membaca karya ini sebagai kejam, tetapi anda nampak kekurangan manusia bila dekat dengan sesuatu. Ia bukan soal mengejek, tetapi ada jarak intim. Beliau melayan orang melalui lensanya dengan rasa kesaksamaan; jika anda hendak melempar pai ke muka, beliau tetap merakamnya tanpa mengira siapa anda.”
Walaupun karya ini mengangkat nama Parr, The Last Resort menerima kritikan kerana cara beliau menggambarkan keluarga kelas pekerja dari perspektif sebenar.
Namun bagi peminat setianya, itu adalah sebahagian daripada pandangan Parr yang tidak berbelah bagi dengan merakam kehidupan normal rakyat Britain seperti adanya, tanpa menyorokkan realiti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








