HIBURAN

Ace Frehley, bekas gitaris KISS meninggal dunia

LOS ANGELES – Dunia muzik rock kehilangan seorang lagi legenda apabila gitaris asal kumpulan terkenal Amerika Syarikat, KISS, Ace Frehley meninggal dunia pada usia 74 tahun.

Frehley dilaporkan meninggal dunia di kediamannya baru-baru ini selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh. Beliau menghembuskan nafas terakhir dikelilingi ahli keluarga terdekat.

Dalam kenyataan rasmi, keluarga Frehley memaklumkan mereka amat berduka atas pemergian pemuzik itu yang disifatkan sebagai insan berbakat besar.

“Dalam saat-saat terakhirnya, kami berpeluang berada di sisinya dengan penuh kasih sayang, doa dan ketenangan ketika beliau meninggalkan dunia ini.

“Mengenang segala pencapaian hebatnya, memori Ace akan terus kekal selamanya,” memetik laporan NST.

Frehley merupakan pengasas asal kumpulan KISS pada tahun 1973 bersama Gene Simmons, Paul Stanley dan Peter Criss.

Kumpulan tersebut mencipta fenomena dalam industri muzik dengan gaya unik, solekan wajah ala Kabuki, rambut panjang serta kasut bertumit tinggi yang menjadi identiti mereka di pentas.

KISS turut dikenali melalui lagu-lagu popular seperti I Was Made for Lovin’ You, God of Thunder dan Strutter.

Persembahan mereka sering dianggap luar biasa kerana penggunaan kesan khas seperti asap, letupan dan pyroteknik.

Frehley meninggalkan kumpulan itu pada tahun 1982 selepas berdepan isu ketagihan dan perbezaan kreatif, namun kembali bersama KISS pada pertengahan 1990-an sebelum meneruskan karier solonya.

Sepanjang kariernya, Frehley turut menubuhkan kumpulan Frehley’s Comet dan menghasilkan beberapa album solo yang mendapat sambutan peminat.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Jeanette, dan seorang anak perempuan, Monique.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button