Ikon gusti, Hulk Hogan meninggal dunia pada usia 71 tahun
FLORIDA – Dunia gusti profesional kehilangan salah seorang legenda terhebatnya apabila bekas juara dunia dan anggota WWE Hall of Fame, Hulk Hogan atau nama sebenarnya Terry Gene Bollea, disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung di kediamannya di Clearwater, hari ini.
Berita pemergian ikon berusia 71 tahun itu disahkan oleh beberapa sumber termasuk TMZ dan WWE yang menyifatkan Hogan sebagai antara tokoh paling berpengaruh dalam sejarah hiburan sukan moden.
Menurut laporan, ambulans dan pasukan perubatan dikejarkan ke rumah Hogan pada pagi Khamis selepas dia dilaporkan mengalami “cardiac arrest.”
Malangnya, Hogan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Hogan meninggalkan isteri, Sky Daily dan dua anak daripada perkahwinan terdahulu, Brooke dan Nick.
WWE dalam kenyataannya menyifatkan pemergian Hogan sebagai “salah satu tokoh paling dikenali dalam budaya pop” yang membantu melonjakkan WWE ke pentas global pada era 1980-an.
Hogan menandatangani kontrak dengan WWF (sekarang WWE) pada Disember 1983 dan popular dengan nama timangan Hulkamania yang menjadi ikutan dan mengubah landskap gusti profesional.
Antara pencapaian cemerlangnya adalah enam kali juara dunia WWF/WWE; enam kali WCW World Heavyweight Champion dan dua kali pemenang Royal Rumble (1990 & 1991).
Selain dunia gusti, Hogan juga turut membintangi filem Rocky III, Mr. Nanny dan tampil dalam program realiti TV Hogan Knows Best.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








