[VIDEO] Sekretariat Rukun Negara: Melahirkan generasi mahasiswa berkepimpinan, berjiwa perpaduan
DI tengah kesibukan kuliah dan aktiviti kampus, perpaduan antara mahasiswa seringkali diuji oleh perbezaan budaya, agama dan latar belakang.
Malah dalam ledakan arus globalisasi, media sosial dan maklumat yang semakin mudah tersebar menjadikan golongan tersebut berdepan cabaran besar dalam mengekalkan perpaduan.
Isu-isu sensitif dan berita tidak sahih kadang kala menimbulkan salah faham serta perpecahan dalam kalangan pelajar.

Di sinilah peranan Sekretariat Rukun Negara (SRN) yang diasaskan oleh Kementerian Perpaduan (KPN) menjadi relevan dan signifikan melalui pelbagai inisiatif di bawah pimpinan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Ia bukan sekadar platform kokurikulum tetapi sebagai medan melatih mahasiswa menjadi pemimpin, menghargai kepelbagaian, menapis maklumat dan mengukuhkan semangat perpaduan ketika berada di alam kampus.
@malaysiatribune DI tengah kesibukan kuliah dan aktiviti kampus, perpaduan antara mahasiswa seringkali diuji oleh perbezaan budaya, agama dan latar belakang. #malaysiatribune #beritasemasa #jpnin #perpaduan
Naib Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Kolej UCSI, Sanjana Ravindran, 19, berkata, melalui penglibatan dalam SRN, mereka dapat mempelajari dan memahami budaya rakan-rakan sekolej yang berlainan bangsa.

“Sebagai ahli jawatankuasa (AJK) SRN, kami banyak bekerjasama untuk membuat promosi mengenai aktiviti yang dilaksanakan seperti Citra Negaraku, Wajah-Wajah Perpaduan dan banyak lagi.
“Biasanya kami akan menghasilkan poster untuk disebarkan di media sosial supaya lebih ramai pelajar akan mengetahui program yang dilaksanakan dan manfaatnya kembali kepada mereka.
“Program-program yang dilaksanakan di bawah SRN ini membawa banyak manfaat terutamanya kepada pelajar yang berbilang bangsa.
“Kami dapat mengenali bangsa dan budaya rakan-rakan antara satu sama lain. Perkara tersebut sangat membantu untuk mengeratkan hubungan dan meningkatkan keharmonian dan mewujudkan perpaduan yang sangat erat,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Tambah Sanjana, sebagai ahli masyarakat pula, penting untuk mereka menggunakan peluang-peluang yang ada di sekeliling untuk mengenali budaya dan cara hidup bangsa lain.
“Contohnya meluangkan masa bersama jiran terutama yang berlainan bangsa. Ini sangat membantu untuk meningkatkan perpaduan antara kaum,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Mohammad Hassan Dhoulat Khan, 22, penglibatannya dalam Konvensyen SRN 2025 baru-baru ini memberi satu pengalaman bermakna.

Pemilihannya untuk mengetuai sesi bacaan Ikrar Rukun Negara pada program utama SRN itu merupakan satu penghormatan yang membuktikan keyakinan terhadap bakat mahasiswa.
“Melalui konvensyen tersebut, saya dapat belajar pelbagai jenis maklumat dan pengetahuan daripada rakan-rakan seusia dari IPTA dan IPTS yang lain.
“Maklumat ini secara tidak langsung akan membantu saya untuk menganjurkan dan melancarkan program yang lebih baik di Kolej UCSI,” kata Mohammad Hassan yang merupakan pelajar Diploma Pendidikan Bahasa Inggeris.

Tambahnya di dalam SRN juga, beliau banyak belajar tentang sensitiviti kaum dan cara membina naratif perpaduan secara positif.
“Media sosial mempunyai banyak berita tidak sahih yang boleh mencemar imej perpaduan. Program SRN mengajar kami menilai, menapis dan memperbetulkan persepsi,” katanya lagi.
Seorang lagi AJK SRN, Cheong Yung Xuan, 19, memberitahu, pengalaman menyertai program Wajah-Wajah Perpaduan sangat mengujakan.

“Melalui acara itu, para pelajar perlu merakam foto dan video berkonsepkan keharmonian dan kepelbagaian kaum di negara ini.
“Dari situ, kami berkongsi idea, membuat penyelidikan dan belajar dari platform media sosial seperti TikTok dan Google bagaimana untuk menghasilkan karya terbaik,” jelas pelajar Diploma Perakaunan itu.
Mengulas lanjut mengenai penglibatan Kolej UCSI dalam SRN, Assistant Profesor Nurul Ain Ahmad Sani, 39, berkata, perpaduan bukan sekadar konsep tetapi ia pengalaman yang perlu dilalui golongan mahasiswa.

Beliau yang juga Penasihat SRM merangkap Ketua Program Jabatan Pengajian Umum memberitahu, penglibatan mahasiswa dalam SRN bukan sekadar aktiviti kokurikulum tetapi proses pembentukan karakter.
“Cabaran paling besar adalah menarik minat pelajar. Tetapi apabila mereka mula memahami bahawa SRN adalah medan kepimpinan kebangsaan, mereka sendiri mahu terlibat,” katanya.
Nurul Ain memberi contoh Simfoni Perpaduan 2025, sebuah program yang mencungkil bakat pelajar melalui deklamasi sajak, persembahan tarian tradisional dan nyanyian lagu patriotik.
“Ada pelajar yang tak sangka mampu mendeklamasi sajak dalam Bahasa Melayu. Itulah antara hasil dan kejayaan melalui program SRN ini,” katanya.

Menurut Nurul Ain lagi, tahun 2025 merupakan tahun yang paling banyak aktiviti SRN di Kolej UCSI.
“Kami diberi amanat dan kepercayaan dari KPN untuk menjalankan program Townhall Aspirasi Perpaduan Negara dan Majlis Pelancaran Program Citra Negaraku Peringkat Kebangsaan yang mana menteri sendiri, Datuk Aaron Ago Dagang telah turun di UCSI untuk melancarkan program tersebut di peringkat Nasional.
“Selain itu, Kolej UCSI turut menerima dana bantuan program daripada kerajaan yang sangat membantu dalam penganjuran inisiatif berskala besar sedemikian,” ujarnya.

Apa yang pasti, walaupun penubuhan SRN di kampus itu bermula pada tahun 2020 ketika negara berdepan pandemik Covid-19, usaha memupuk semangat Rukun Negara tidak pernah tergendala.
Dengan sokongan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, SRN di Kolej UCSI meningkat aktif setiap tahun dan 2025 menjadi tahun paling rancak dengan pelaksanaan program perpaduan berimpak tinggi.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Kesepaduan Sosial dan Integrasi Nasional, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Fairojibanu Zainal Abidin berkata, SRN menekankan pembangunan karakter mahasiswa melalui empat aspek utama iaitu kepimpinan, sukarelawan, advokasi dan pembentukan nilai diri.

“Daripada sudut kementerian, SRN berfungsi sebagai rangkaian nasional yang merangkumi 193 sekretariat di seluruh negara yang memainkan peranan penting dalam membudayakan nilai Rukun Negara.
“Ia bukan sahaja memberi ruang kepada mahasiswa untuk menonjolkan bakat kepimpinan tetapi juga melibatkan mereka dalam aktiviti sukarelawan yang menyatukan komuniti majmuk serta memperkukuh nilai perpaduan di kampus,” katanya.
Tambah beliau, SRN turut berperanan sebagai platform advokasi, menyampaikan mesej perpaduan melalui pelbagai program dan aktiviti interaktif.

“Kementerian menyediakan modul, latihan, bengkel Training of Trainers (TOT) serta peruntukan untuk memastikan program yang dijalankan memberi impak tinggi dan berkesan.
“Kerjasama strategik seperti Citra Negaraku membolehkan mahasiswa belajar menguruskan program, berkolaborasi dengan NGO serta memperkasa nilai kenegaraan.
“Pendekatan ini bukan sekadar teori tetapi memberi pengalaman praktikal kepada generasi muda untuk memahami realiti kepelbagaian masyarakat Malaysia.
“SRN ditubuhkan kerana mahasiswa inilah bakal memimpin negara,” jelas Fairojibanu.
Mesej yang ingin disampaikan jelas iaitu generasi muda yang berakhlak, berprinsip dan memahami kemajmukan negara merupakan aset utama bagi Malaysia MADANI dan SRN adalah platform penting untuk membentuk pemimpin sedemikian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







