STPM, Matrikulasi diletakkan di bawah KPT mulai tahun depan
KUALA LUMPUR – Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Matrikulasi yang sebelum ini berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) akan dipindahkan sepenuhnya ke Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mulai tahun hadapan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, yang menyifatkan langkah berkenaan sebagai antara transformasi utama sedang dirangka kerajaan bagi memperkemas sistem penilaian kemasukan pelajar ke universiti.
Menurut beliau, keputusan itu selaras pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 dan merupakan sebahagian daripada penyusunan semula besar dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.
“Kerajaan sedang merangka untuk mengalihkan atau membawa program-program di peringkat Kementerian Pendidikan iaitu di peringkat STPM dan juga matrikulasi untuk dipindahkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi. Jadi ini antara beberapa perancangan perubahan besar yang sedang dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada
Majlis Apresiasi Media Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di ibu negara, kelmarin.
Pada masa sama, Zambry turut memaklumkan bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2026-2035 telah pun siap beberapa bulan lalu dan kini menunggu masa untuk dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri.
“Bermakna bermula tahun hadapan saudara-saudari akan melihat pelan pendidikan tinggi negara yang baharu yang akan kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata, pelan itu bukan hanya melibatkan universiti, malah merangkumi keseluruhan agensi di bawah KPT termasuk politeknik dan kolej komuniti.
Mengulas lanjut, beliau menekankan keperluan memastikan setiap pelajar dibekalkan pakej lengkap sebelum melangkah ke dunia pekerjaan, merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran serta pembinaan personaliti.
“Penyediaan bakat terbaik bukan hanya dalam satu aspek pengajian, tetapi melibatkan keseluruhan pembinaan diri mereka termasuk nilai keusahawanan, pendedahan industri di kampus dan pembinaan nilai kepimpinan serta keyakinan diri,” katanya.
Zambry menegaskan, usaha memperkasakan industri di kampus akan terus dipertingkat bagi memastikan pelajar bukan sekadar belajar teori, tetapi memperoleh pengalaman praktikal yang relevan untuk pasaran kerja.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














