
SUV jatuh gaung: Tiada kesan brek, polis siasat siapa alih papan tanda amaran, penghadang jalan
HULU TERENGGANU – Polis tidak menemui sebarang kesan brek di lokasi sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) terjunam ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), dekat sini kelmarin yang mengorbankan pasangan bakal pengantin.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, kenderaan itu dipercayai dipandu terus ke kawasan laluan terputus sebelum terhumban ke dalam gaung sedalam 61 meter.
Beliau juga mengesahkan papan tanda amaran dan penghadang jalan yang dipasang di lokasi tanah runtuh terbabit difahamkan telah dialih oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Menurutnya, siasatan awal mendapati SUV terbabit bergerak ke arah laluan yang ditutup akibat tanah runtuh pada tahun lalu itu bukan pada halaju tinggi berdasarkan serpihan yang ditemui di lereng gaung.
“Jika pemandu memandu laju, biasanya kenderaan akan ‘terbang’ sedikit sebelum terjatuh ke dalam gaung.
Namun, berdasarkan serpihan kenderaan yang ditemui di lereng gaung, polis yakin SUV itu tidak dipandu laju dan terus terjunam ke bawah,” katanya memetik laporan BH Online hari ini.
Menurutnya, polis percaya punca kemalangan lebih kepada faktor kecuaian manusia kerana tidak memberi tumpuan penuh ketika pemanduan.
Mengenai kamera papan pemuka atau dashcam pada SUV itu, beliau memaklumkan, pemeriksaan hanya menjumpai tapak alat perakam itu, namun kamera tidak ditemui dan dipercayai tercampak ketika kejadian.
“Operasi mengeluarkan kenderaan itu mengambil masa hampir empat jam berikutan keadaan cuaca hujan yang menyukarkan proses membawa naik SUV terbabit. Operasi bawa naik SUV dari dalam gaung dimulakan jam 2 petang semalam dan ia kemudian dibawa ke IPD Hulu Terengganu.
“Sememangnya terdapat papan tanda amaran dan penghadang jalan yang dipasang di lokasi tersebut, namun difahamkan ia telah dialihkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, polis akan menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang mengalih atau mengganggu tanda amaran keselamatan jalan di laluan berkenaan.
Semalam, media melaporkan Toyota Fortuner dipandu guru, Hassan Shazali, 52, dan pekerja kantin, Suzaimah Che Azis, 34, terjunam ke dalam gaung kira-kira jam 5.30 petang Jumaat.
Kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke Gua Musang, Kelantan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








