Fahmi dedah kes murid tahun empat hantar mesej tidak senonoh kepada cikgu
PUTRAJAYA – Pendedahan mengejutkan seorang guru berhubung mesej meminta gambar tidak senonoh daripada murid lelaki berusia 10 tahun mencetuskan kebimbangan serius berhubung keselamatan digital kanak-kanak, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, guru tersebut tampil memaklumkan insiden berkenaan berlaku di sekolahnya, melibatkan seorang pelajar Tahun Empat yang berhubung melalui aplikasi WhatsApp.
“Guru berkenaan mengadu anak murid beliau telah menghantar mesej kepada mangsa meminta gambar yang tidak senonoh daripada cikgu itu.
“Pelajar itu adalah pelajar Tahun 4, jadi semestinya murid berkenaan di bawah usia 16 tahun,” dedah Fahmi dalam sidang media sempena Karnival Mega Kempen Internet Selamat, hari ini.
Menurutnya, kejadian itu menimbulkan persoalan besar memandangkan WhatsApp sendiri mensyaratkan had umur minimum 16 tahun untuk menggunakan platform tersebut.
“Jadi persoalannya, kenapa WhatsApp, perkara itu boleh berlaku dalam WhatsApp. Ada banyak contoh, tapi itu salah satu contoh yang sangat dekat dengan saya kerana berlaku kepada saya (aduan diterima),” katanya.
Ditanya mengenai kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Fahmi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) telah dimaklumkan mengenai aduan itu.
“Saya percaya KPM sedia maklum perkara seumpama itu,” katanya.
Fahmi menegaskan, isu seumpama ini perlu ditangani segera termasuk melalui cadangan sekatan penggunaan media sosial kepada kanak-kanak di bawah umur 16 tahun.
“Kita berharap isu seperti ini dapat diatasi dengan sekatan terhadap media sosial dan sistem pemesejan internet seperti WhatsApp,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















