Penunggang p-hailing maut dihempap pokok tumbang
MELAKA – Seorang penunggang p-hailing maut dihempap pokok tumbang di Jalan Tun Razak-Ayer Keroh berhampiran Taman Delima Raya, di sini tengah hari tadi.
Menurut Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid, sejurus menerima panggilan kecemasan sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dikejarkan ke lokasi.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba dalam tempoh lapan minit dan mendapati sebuah motosikal dihempap pokok tumbang.
“Anggota segera menjalankan kerja menyelamat, termasuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah pokok,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi.
Kejadian turut menyebabkan seorang wanita berusia 19 tahun cedera apabila kereta Perodua Myvi dinaikinya turut ditimpa dahan pokok terbabit.
Beliau berkata, mangsa yang maut diserahkan kepada pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut, manakala penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Melaka menggunakan jentera EMRS.
Tambahnya, anggota turut melaksanakan kerja-kerja memotong dan membersihkan pokok bagi memastikan laluan selamat.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 3.18 petang tadi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















