Jenazah Bung Moktar dikebumi selepas solat Jumaat di Kampung Likas
KOTA KINABALU – Jenazah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, 64, yang menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagle, di sini awal pagi tadi, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas selepas solat Jumaat, hari ini.
Orang ramai diberi peluang menziarahi jenazah beliau di kediamannya di Idang Residence, Luyang dari pukul 8 pagi hingga 9.30 pagi sebelum dibawa ke Masjid Bandaraya, memetik laporan Kosmo! Online.

Urusan memandikan jenazah akan dilakukan pada pukul 10 pagi manakala solat jenazah pula akan dilaksanakan sejurus selesai solat Jumaat.
Selepas itu, jenazah Ahli Parlimen Kinabatangan berkenaan akan dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas untuk pengebumian.
Allahyarham disahkan meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi seperti dimaklumkan anaknya, Naim Moktar menerusi hantaran di Facebook.
Difahamkan Bung Moktar menghadapi kegagalan buah pinggang serta jangkitan paru-paru dan telah dimasukkan ke Hospital Gleneagle sejak pagi semalam.
Sejak berita kemasukan beliau ke hospital tersebar lewat petang semalam, ahli keluarga, rakan kenalan dan beberapa pemimpin politik berkumpul di hospital bagi memberi sokongan.
Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman turut melawat ADUN Lamag itu malam tadi ketika beliau menerima rawatan.
Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Ketua UMNO Sabah, baru sahaja mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang berakhir Sabtu lalu.
Jenazah bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu telah dibawa pulang ke kediamannya di Luyang awal pagi ini untuk penghormatan terakhir daripada keluarga dan sahabat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















