Seorang lelaki maut, wanita cedera insiden pokok tumbang di ibu negara
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala seorang wanita cedera dalam dua kejadian berasingan susulan ribut petir dan angin kencang yang melanda ibu negara, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan antara pukul 4 petang hingga 5.30 petang berkenaan pokok tumbang di beberapa lokasi sekitar ibu negara.
Menurut kenyataan itu, anggota bomba dikerahkan ke kawasan terjejas bagi melaksanakan operasi menyelamat dan pembersihan, termasuk memotong serta mengalihkan pokok tumbang bagi memastikan keselamatan orang awam.
“Dalam satu kejadian di Hartamas Regency sepanjang Persiaran Dutamas, Taman Duta, seorang lelaki berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia oleh anggota Kementerian Kesihatan (KKM) selepas dua kereta dihempap pokok tumbang.
“Manakala di Jalan Metro Prima, Kepong Baru, seorang wanita berusia 30-an mengalami kecederaan apabila kenderaannya turut dihempap pokok,” menurut kenyataan itu.
JBPM Kuala Lumpur berkata, satu lagi kejadian dilaporkan di Jalan Burung Balam, Taman Bukit Maluri, melibatkan sebuah kereta yang turut dihempap pokok tumbang.
“Semua kejadian telah ditangani segera oleh pasukan JBPM Kuala Lumpur dan keadaan berjaya dikawal.
“Operasi pembersihan juga dilaksanakan serta-merta di semua lokasi terjejas,” kata kenyataan itu lagi.
Jabatan itu turut memaklumkan bahawa pihaknya kekal dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan kecemasan susulan cuaca buruk yang dijangka berterusan dalam beberapa hari akan datang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








