JENAYAH & MAHKAMAH

Abuya berdepan pertuduhan ke-21 kes amang seksual

MELAKA – Seorang mudir madrasah dikenali sebagai ‘Abuya’ yang sebelum ini berdepan 18 pertuduhan seksual di Kelantan, Terengganu dan Perak, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas tiga pertuduhan baharu membabitkan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

Tertuduh, Mohamad Aswadi Yah, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah, seperti dilaporkan Kosmo! Online.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii tanpa kerelaan mangsa kira-kira pukul 7.30 pagi pada 4 Ogos 2024 di sebuah rumah di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh.

Dakwaan itu di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara 5 hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohamad Aswadi didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang sama bagi tujuan seksual di lokasi, masa dan tarikh yang sama, mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan memandangkan mangsa di bawah umur.

Peguam tertuduh, Mohd Irwan Sumadi memohon jaminan lebih rendah kerana anak guamnya telah membayar jaminan keseluruhan RM93,000 bagi pertuduhan lain di Kelantan, Terengganu dan Perak.

Selain itu, tertuduh yang mempunyai empat anak juga dilaporkan menghidap darah rendah, masalah gula, sakit tulang belakang dan gangguan saraf.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menetapkan jaminan RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button